Nor Amalina Alias


KELIBAT seekor buaya dipercayai spesis tembaga yang muncul di bawah jambatan Kampung Telaga Gayong, Pasir Puteh, mengejutkan penduduk.

Buaya sepanjang kira-kira tiga meter itu berjemur selama 10 minit dengan disaksikan penduduk yang sempat merakam kehadiran reptilia itu.

Penduduk, Nasarudin Deraman, 50, berkata, dia terkejut apabila melihat seekor buaya berada dalam semak di tebing sungai jambatan itu jam 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, dia kebetulan melalui jambatan itu yang menghubungkan penduduk ke bandar Pasir Puteh.

"Saya sempat rakam kehadiran buaya itu dan kali pertama melihat buaya di kawasan ini.

"Saiz badannya agak besar dan menyebabkan penduduk risau akan keselamatan dan meminta pihak berkaitan meninjau keadaan di sini," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan.

AMIRUL Adli menunjukkan gambar buaya yang sempat dirakam. FOTO Nor Amalina Alias
AMIRUL Adli menunjukkan gambar buaya yang sempat dirakam. FOTO Nor Amalina Alias

Bagi Amirul Adli Mohd Khari, 19, dia mengetahui kehadiran buaya itu selepas dimaklumkan rakannya dan ke lokasi untuk melihat sendiri.

Katanya, kawasan anak sungai itu turut menjadi tumpuan pemancing dan penduduk mandi-manda.

"Sejak tahu ada buaya di situ, penduduk sudah tak berani nak pergi memancing," katanya.

Rakannya, Wan Mohd Ridhuan Wan Soh, 35, berkata, dia juga pertama kali melihat buaya muncul di kawasan berkenaan.

Katanya, dia sempat melihat gelagat sang bedal yang cuba mencari makanan namun tidak kelihatan agresif dan hanya berjemur.

"Buaya itu berada di daratan lebih kurang 10 minit dan kembali ke dalam sungai. Ia tidak muncul-muncul sehingga kini.

"Namun, kami harap pihak berkaitan memantau kehadiran buaya itu kerana memikirkan keselamatan penduduk apatah lagi jambatan dan kawasan itu kerap dilalui penduduk," katanya.

Difahamkan sebelum ini terdapat kes penduduk cedera parah dibaham buaya ketika membersih jala di tebing sungai Kampung Tok Ajam kira-kira tiga kilometer dari kampung ini pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 4:42 PM