Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


SARAWAK merekodkan 136 kes penipuan didalangi sindiket Macau Scam membabitkan kerugian melebihi RM5.5 juta sepanjang Januari hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintendan Maria Rasid berkata, bagi tempoh sama tahun lalu, 56 kes dilaporkan membabitkan kerugian melebihi RM3.9 Juta.

"Dari segi tangkapan, seramai 79 orang berjaya ditangkap JSJK Sarawak bagi tempoh 1 Januari sehingga semalam berbanding 18 tangkapan pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Kebelakangan ini, penipuan melalui panggilan telefon atau lebih dikenali sebagai Macau Scam kembali aktif dengan hampir setiap hari ada kes dilaporkan di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maria berkata, sikap mudah mempercayai antara faktor utama menyebabkan mangsa mudah tertipu.

Katanya, lazimnya mangsa ditipu dengan helah didakwa ada tunggakan hutang kad kredit, pinjaman, kes mahkamah atau saman mahkamah, kes langgar lari, tunggakan cukai dan perkhidmatan (GST) dan tunggakan cukai pendapatan atau perniagaan.

"Orang ramai harus sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat pihak tertentu yang menyamar, usah panik serta mudah percaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 7:04 PM