FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


SERAMAI sembilan individu ditahan polis selepas dikesan memandu di bawah pengaruh alkohol sepanjang operasi Op Mabuk dilakukan polis di beberapa lokasi sekitar Ipoh bermula 1 Jun hingga malam tadi.

Semua individu itu ditahan selepas gagal ujian saringan pernafasan dilakukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Ipoh ketika pemeriksaan dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamed Nordin Abdullah berkata, semua individu yang ditahan itu berusia antara 33 hingga 56 tahun.

"Mereka ditahan selepas didapati memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan mengikut Seksyen 45(A) (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Semua individu terbabit akan dituduh di Mahkamah Trafik Ipoh pada tarikh yang sudah ditetapkan," katanya tadi

Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di bandar Ipoh dalam Op Samseng Jalanan pada 3 pagi, semalam.

"Anggota polis yang terserempak suspek bertindak mengekori motosikal itu sebelum menahannya.

"Pemeriksaan mendapati motosikal itu dilaporkan hilang sebelum ini dan suspek akan dituduh mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 5:52 PM