ASET udara seperti penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) amat berguna untuk pemantauan secara langsung dan dapat menyalurkan maklumat dengan cepat serta tepat. FOTO Arkib NSTP
ASET udara seperti penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) amat berguna untuk pemantauan secara langsung dan dapat menyalurkan maklumat dengan cepat serta tepat. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

PASUKAN Petugas Kebangsaan (NTF) merancang untuk menambah aset-aset baharu terutama aset maritim bagi mengekang jenayah penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan jenayah rentas sempadan.

Komander NTF Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pihaknya kini menggunakan aset sedia diguna pakai bagi Operasi Benteng (Op Benteng).

Beliau berkata, berikutan Op Benteng adalah operasi bersepadu, atur gerak aset diselaraskan bagi mencapai misi yang dihasratkan.

"Bagaimanapun, NTF kini dalam perancangan untuk menambah aset-aset baharu terutama aset maritim dan antara penambahan yang dicadangkan adalah bot-bot pemintas.

"Untuk Op Benteng ini, aset maritim memang tidak mencukupi dan kami masih perlukan bot-bot pemintas untuk memintas pendatang tanpa izin di perairan negara ini," katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di ibu pejabat NTF di Kuala Lumpur.

Aris berkata, NTF juga dalam perancangan untuk menambah aset udara seperti penggunaan dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Beliau berkata, aset-aset berkenaan amat berguna untuk pemantauan secara langsung dan dapat menyalurkan maklumat dengan cepat serta tepat.

"Insya-Allah kerajaan sedang memberikan peruntukan khas untuk NTF dan sedang memperolehi aset-aset yang kami mohon.

"Selain itu, NTF cuba sedaya upaya menutup segala kelemahan aset supaya operasi bersepadu ini, semua aset kita boleh berkongsi dengan agensi penguat kuasa lain," katanya.

Aris berkata, bagi keperluan darat, NTF juga merancang untuk membuat beberapa perolehan bagi menampung aset-aset sedia ada.

"Antaranya aset mobiliti bagi menambah baik operasi perisikan di daratan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Op Benteng, beliau berkata, NTF menyelaras dan mengoptimumkan sumber manusia, aset dan atur gerak semua agensi penguat kuasaan agar mencapai objektif disasarkan.

Katanya, penyelarasan itu dilihat efektif terutama aspek perkongsian maklumat perisikan, koordinasi kawasan rondaan dan pengurusan penahanan pendatang tanpa izin kerana disepadukan secara berpusat.

Op Benteng Covid-19 yang dilancarkan sejak 12 Mei lalu membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan semua agensi penguat kuasaan daratan dan maritim negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 2:53 PM