KAKITANGAN Majlis Daerah Maran mengadakan operasi  penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pasangan iklan besar tidak mempunyai permit. FOTO Roselan Ab Malek
KAKITANGAN Majlis Daerah Maran mengadakan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap pasangan iklan besar tidak mempunyai permit. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


SEBANYAK 15 papan iklan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Maran diturunkan kerana tidak mempunyai lesen dan permit pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan itu susulan operasi dijalankan Majlis Daerah Maran (MDM) dengan kerjasama ANIH Berhad dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran sejak semalam.

Setiausaha MDM, Wan Norizan Wan Badaruzzaman berkata, operasi dilakukan bermula Kilometer 176.6 sehingga Kilometer 150.5 susur keluar Sri Jaya ke Chenor.

Menurutnya, operasi dijalankan ke atas iklan yang dipamerkan atau dipasang tanpa mendapat kelulusan lesen iklan yang sah dari MDM.

BILLBOARD  yang tidak mempunyai permit yang dipasang  di sepanjang Lebuh raya Pantai Timur (LPT)  kerjasama pihak ANIH Berhad dan Ibu pejabat Polis Daerah Maran. FOTO Roselan Ab Malek
BILLBOARD yang tidak mempunyai permit yang dipasang di sepanjang Lebuh raya Pantai Timur (LPT) kerjasama pihak ANIH Berhad dan Ibu pejabat Polis Daerah Maran. FOTO Roselan Ab Malek

"Notis terakhir dikeluarkan pada 11 Mac lalu kepada pemilik supaya membayar lesen iklan tetapi pihak berkenaan gagal mengambil tindakan sewajarnya.

"Oleh kerana ia masih gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan dengan menurunkan iklan berkenaan dijalankan," katanya.

Wan Norizan berkata, tindakan memasang papan iklan gergasi atau billboard di LPT tanpa lesen adalah kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (Majlis Daerah Maran) 2000.

"Daripada pemantauan MDM, setakat ini sebanyak 23 syarikat atau pemilik iklan membabitkan 59 billboard dipasang dan dipamer tanpa lesen iklan di sepanjang LPT dalam Daerah Maran.

"MDM akan mengambil tindakan tegas dengan menurunkan papan iklan yang masih tidak mempunyai lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 3:39 PM