Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid @ Malim Ghozali PK
Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid @ Malim Ghozali PK
Balqis Jazimah Zahari


SASTERAWAN Perak, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali dengan nama penanya Malim Ghozali PK meninggal dunia hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Allahyarham.

"Bagi pihak pentadbiran Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat negeri, saya dengan perasaan penuh hiba dan pilu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Sasterawan Negeri Perak, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK.

"Pemergian beliau yang mesra disapa sebagai Pak Malim bukan sahaja satu kehilangan besar kepada bidang sastera negara, tetapi juga kepada diri saya secara peribadi," katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau sebelum ini memang rapat dengan Allahyarham Pak Malim.

"Saya sangat rapat dengan Allahyarham Pak Malim, malah menganggap beliau bagaikan ayah saya sendiri.

"Pastinya kita akan terus menyanjungi karya ulung beliau yang sudah menjadi sebahagian daripada khazanah agung bidang sastera negara," katanya.

Beliau berkata, dengan rendah hati menyeru kepada semua muslimin dan muslimat untuk sedekahkan pahala bacaan surah Al-fatihah buat Allahyarham Pak Malim.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dihimpunkan bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

"Kita mendoakan supaya keluarga Allahyarham Pak Malim dikurniakan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:10 PM