HALIMAH (tengah) pada Majlis Penyerahan Kit Peralatan Rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS). FOTO Samadi Ahmad
HALIMAH (tengah) pada Majlis Penyerahan Kit Peralatan Rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS). FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

PEMERKASAAN Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara dijangka membantu membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, bagi tujuan itu, kementerian itu akan melaksanakan pelbagai program bagi memperkasa SRS.

"Setakat ini terdapat 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara, namun tidak semua kawasan menubuhkan SRS.

"Mengikut data terdapat 5,302 SRS berdaftar dan kita akan pastikan kesemuanya akan terus aktif bagi memantapkan peranan KRT dalam membendung penularan wabak Covid-19," katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Kit Peralatan Rondaan SRS, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Ti Lian Ker dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Pada majlis itu, Halimah menyampaikan kit peralatan rondaan SRS kepada 16 Pengarah Perpaduan Negeri, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Halimah berkata, pihaknya juga akan meneliti masalah mengapa sejumlah SRS berdaftar, tetapi tidak aktif.

Dalam pada itu, Halimah berkata, kit peralatan yang mengandungi pensanitasi tangan, pelitup muka, wisel, ves keselamatan, topi, alat penyukat suhu, lampu suluh dan tongkat kilat akan diedarkan kepada 1,079 SRS bagi kegunaan 68,410 anggotanya seluruh negara.

Menurutnya, pemberian kit itu bagi memastikan anggota SRS mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika bertugas.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 6:49 PM