GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ihsan Noorzali


MEMAHAMI masalah capaian Internet yang dialami mahasiswa di seluruh negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil ketetapan tidak melaksanakan peperiksaan akhir bagi semua kursus pada pengajian semester ini.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, penularan Covid-19 menyukarkan kehidupan pelajar termasuk dalam menguruskan sistem pendidikan bukan saja di peringkat tadika dan sekolah malah universiti.

Mohammad Shatar berkata, memikirkan masalah pelajar, UPSI menukarkan peperiksaan akhir kepada pelaksanaan kerja kursus, projek atau aktiviti pembelajaran lain yang boleh dibuat pentaksiran sebagai menggantikan peperiksaan akhir.

"Ia dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi pelajar seperti liputan Internet selain mengadunkan beberapa kaedah lain yang sesuai untuk memudahkan mereka belajar," katanya.

Beliau berkata, UPSI juga mengirimkan secara pos lebih 500 unit 'pendrive' yang dimasukkan nota kuliah dan bahan pengajaran kepada mahasiswa tiada akses Internet.

"Malahan, kami melaksanakan fleksibiliti tarikh penghantaran tugasan kerana perlu mengambil kira kesukaran yang dialami oleh mahasiswa," katanya.

Mohammad Shatar berkata, pelajar pasca antarabangsa atau tempatan turut diberikan kebenaran menangguhkan semester dan yuran dibawa ke semester hadapan.

Beliau berkata, UPSI sentiasa berusaha memastikan pentaksiran pelajar dibuat secara berterusan berikutan situasi penularan Covid-19 yang sukar diramal bila berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 8:22 PM