Ramli Ibrahim


EMPAT belas pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua kanak-kanak yang menaiki bas ekspres menghala Kota Bharu ditahan dalam sekatan jalan raya di Kem Semur Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang, hari ini.

Ketua Polis Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, 10 daripada Pati itu warganegara Kemboja membabitkan tujuh lelaki dan tiga perempuan berusia 15 hingga 42 tahun.

"Dua kanak-kanak berumur setahun dan lapan tahun yang ditahan adalah anak kepada pasangan warganegara Kemboja.

"Selain itu, dua lagi adalah lelaki Pakistan. Semua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah ketika bas itu ditahan pada 5 pagi," katanya ketika dihubungi.

Mohd Taufik berkata, pihaknya percaya Pati mengambil kesempatan kelonggaran merentas negeri untuk ke Rantau Panjang dan memilih menaiki bas ekspres ke Kota Bharu.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1958/63 (Pindaan 2002).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 10:23 AM