Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat pakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) ketika kunjungan terhadap sukarelawan Dewan Muslimat PAS, Sepang, Selangor, semalam.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat pakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) ketika kunjungan terhadap sukarelawan Dewan Muslimat PAS, Sepang, Selangor, semalam.
Amir Abd Hamid


BIARPUN hanya berstatus suri rumah, namun mereka tidak mahu ketinggalan menyumbang tenaga kepada negara dengan menghasilkan pakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan memerangi Covid-19.

Itu usaha dan inisiatif sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilaksanakan yang dilakukan 24 sukarelawan Dewan Muslimat PAS Sepang bagi membantu kerajaan.

Keprihatinan mereka mendapat perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Rina berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menghargai usaha semua sukarelawan itu.

"KPWKM amat mengalu-alukan dan menyokong mana-mana usaha golongan wanita negara ini termasuk suri rumah menunjukkan kemahiran mereka dalam membantu kerajaan.

"Usaha sukarelawan menghasilkan PPE untuk diagihkan kepada barisan hadapan sejak negara ditimpa musibah pandemik Covid-19 hingga hari ini sangatlah dihargai.

"Walaupun sejak PKP dilaksanakan dengan pergerakan terbatas sebelum ini, saya dimaklumkan mereka semuanya tekun menyiapkan PPE itu di rumah masing-masing," katanya dalam kunjungan terhadap sukarelawan itu yang turut diiringi Ketua Dewan Muslimat PAS Sepang, Saimah Nordin semalam.

Menurutnya, KPWKM bersedia membantu apa saja keperluan dan menyokong untuk meningkatkan kemahiran dan kebajikan wanita di negara ini.

Pada pertemuan dengan sukarelawan Dewan Muslimat PAS, Sepang itu, Rina turut beramah-mesra sebagai tanda penghargaan serta menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada mereka yang terjejas akibat Covid-19

Sementara itu, Saimah berkata kunjungan Rina memberi semangat buat mereka semua untuk terus berbakti menumpukan usaha menghasilkan PPE sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

"Sehingga kini kami sudah menyiapkan lebih 2,000 PPE dan sudah diserahkan kepada hospital, pusat kesihatan dan klinik yang memerlukan.

"Selagi Covid -19 ini belum berakhir dan kami masih menerima sumbangan, selagi itu kami akan terus berkhidmat untuk menyiapkan PPE ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 9:01 PM