Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menahan 20 warga asing dalam sekatan jalan raya Op Benteng atas pelbagai kesalahan imigresen, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan terus mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram manakala agensi penguatkuasaan komited untuk mengetatkan kawalan di sempadan, termasuk lorong tikus.

"Semalam, polis melakukan 67 sekatan jalan raya dan memeriksa 48,460 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri turut mengingatkan rakyat mengawal diri sendiri untuk membantu memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

"Walaupun polis dan anggota penguat kuasa tidak lagi melakukan pemantauan, setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekitar.

"Pada awal perayaan Aidilfitri lalu memang ada anggota polis dan pasukan penguatkuasaan pematuhan masuk ke kampung dan kawasan perumahan untuk melakukan pemeriksaan dan ramai yang dikompaun terus di lapangan," katanya.

Menurutnya, sewaktu awal perayaan sahaja rondaan dilakukan namun kini polis tidak lagi membuat pemantauan rumah ke rumah seperti sebelum ini.

"Walaupun tiada polis, kita jaga diri kita, tiada 'frontliner' (petugas barisan hadapan), kita jadi 'frontliner' untuk keluarga dan masyarakat sekitar. Kita kawal diri dengan kawalan kendiri.

"Kalau tiada polis, kita jadi polis kawal diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 5:13 PM