PEK yang mengandungi darah penderma. FOTO Aizuddin Saad
PEK yang mengandungi darah penderma. FOTO Aizuddin Saad
Rafidah Mat Ruzki


SUMBANGAN penderma dan penganjur kempen derma darah di negara ini dihargai oleh dua tokoh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui klip video ucapan yang dimuat naik di media sosial Pusat Darah Negara kementerian itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu klip video berdurasi dua minit berkata, penderma darah adalah aset negara kerana sumbangan mereka tidak ternilai.

Katanya, sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2020 hari ini yang bertemakan, 'Darah Yang Selamat Menyelamatkan Nyawa' bertepatan kerana ia menyumbang kepada rawatan kesihatan.

"Saya dan seluruh warga KKM mengucapkan selamat Hari Penderma Darah Sedunia kepada semua penderma dan penganjur kempen derma darah.

"KKM akan terus komited dalam memastikan keperluan bekalan darah adalah mencukupi, selamat dan berkualiti, di bandar dan di luar bandar, selari dengan slogan darah demi kesihatan sejagat.

"Marilah kita terus menunaikan tanggungjawab menderma darah dan menganjurkan kempen derma darah. Amalkan gaya hidup yang sihat, kekal aktif dan teruskan sokongan padu anda dengan menderma di Pusat Darah Negara dan tabung darah di seluruh negara," katanya.

Dr Adham turut mengingatkan rakyat untuk membudayakan normal baharu dalam usaha memerangi Covid-19 melalui amalan kebersihan diri dan persekitaran, penjarakan sosial dan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam rakaman ucapannya berkata, peranan penderma darah dan penganjur kempen derma darah adalah amat besar kerana sumbangan mereka dapat menyelamatkan insan lain.

Katanya, beliau dimaklumkan, secara purata sebanyak 2,000 beg darah yang didermakan rakyat Malaysia, digunakan untuk 1,000 pesakit setiap hari.

"Hari ini adalah Hari Penderma Darah Sedunia yang diraikan di seluruh dunia dan Malaysia khasnya, iaitu hari yang bersejarah buat penderma darah, penganjur derma darah dan kita semua.

"Saya berbangga dengan rakyat Malaysia, tanpa anda siapalah kami. Teruskan usaha murni anda dan saya menyeru kepada insan di luar sana terus tampil menderma darah.

"Saya Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan Selamat Hari Penderma Darah Sedunia kepada semua penderma darah dan penganjur kempen derma darah di seluruh negara. Terima kasih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 3:02 PM