SITI Sara bersama Proton X70 Premium yang dimenangi. FOTO Faiz Anuar
SITI Sara bersama Proton X70 Premium yang dimenangi. FOTO Faiz Anuar
Amirul Aiman Hamsuddin


BERKAT kesabaran dan ketekunan menyimpan wang untuk kegunaan anak-anak pada masa depan membawa tuah kepada guru, Siti Sara Arshad, 53, apabila memenangi Proton X70 Premium dalam peraduan Cabutan Wow! SSPN-i PLUS 2019.

Siti Sara yang juga Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang berkata, dia tidak menyangka menang kereta itu dan menganggap ia sebagai 'bonus' susulan menyimpan di akaun SSPN-i Plus.

Katanya, simpanan keluarga itu untuk jaminan masa depan empat anaknya yang kini berusia 21 hingga 29 tahun.

"Setiap bulan, saya dan suami konsisten menyimpan RM 100 untuk setiap seorang. Manakala anak-anak pula menyimpan RM 30 juga untuk setiap seorang.

"Niat saya membuka akaun itu hanya untuk memastikan kepentingan pendidikan dan masa depan anak lebih terjamin. Tak sangka ia (buka akaun) bertukar menjadi hadiah yang berharga untuk kami sekeluarga," ketika ditemui selepas majlis penyerahan kereta di Bukit Rotan, Kuala Selangor, hari ini.

Majlis penyampaian disempurnakan Ketua Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah.

Dia bercadang menggunakan kereta itu sebagai kenderaan ke sekolah pada 24 Jun ini dan menyerahkan Toyota Avanza yang dipakainya sebelum ini kepada seorang daripada anaknya.

Beliau berkata, hadiah utama berkenaan adalah hadiah paling berharga yang pernah diperolehinya sepanjang 29 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

"Cikgu kalau diberi hadiah pen, dia akan rasa seronok, apatah lagi hadiah seperti ini (kereta).

"Tugas guru bukan sahaja mengajar anak murid, tetapi juga perlu amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

"Apabila semua perkara ini dilakukan dengan baik, Allah akan balas dengan sesuatu yang kita sendiri tidak duga," katanya yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, pendeposit yang membuka akaun SSPN-i Plus akan mendapat pelbagai manfaat dan keistimewaan seperti dividen kompitetif dan pelepasan cukai taksiran sebanyak RM 8,000.

Tambah beliau, keistimewaan lain termasuk pelindungan takaful termasuk khairat kematian, komitmen serendah RM 20 sebulan serta layak memohon pinjaman PTPTN.

"Sepanjang tahun, kita menggalakkan masyarakat untuk menyimpan di samping menghargai mereka (pendeposit) yang setia membuat simpanan secara konsisten.

"Malah, kita menawarkan promosi Aidilfitri pada tahun ini iaitu Jom Raya Jom Manipal bersama SSPN bermula 18 Mei lalu hingga 30 Jun ini," katanya.

Beliau berkata, 1,015 pendeposit baru mahupun lama berpeluang memenangi hadiah berupa duit raya SSPN dengan keseluruhan berjumlah RM 261,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 2:18 PM