PASUKAN Alpha BBP Batu Niah menangkap buaya yang terkena jerat di Kampung Ogus, Suai, pagi tadi. ihsan bomba
PASUKAN Alpha BBP Batu Niah menangkap buaya yang terkena jerat di Kampung Ogus, Suai, pagi tadi. ihsan bomba
Erika George


PEMILIK kebun di Kampung Ogus, Suai, Batu Niah terkejut apabila jerat haiwan yang dipasang di kebunnya terjerat seekor buaya sepanjang 1.5 meter pagi tadi.

Bimbang dengan keselamatan, pemilik kebun berkenaan menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah untuk menangkap reptilia itu dari jerat yang dipasangnya.

Jurucakap Pasukan Alpha BBP Batu Niah berkata, sebaik menerima panggilan pada 9.50 pagi, sepasukan anggota bomba bergerak ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas menangkap buaya.

Menurutnya, pasukan bomba meredah jalan denai sepanjang 0.5 kilometer untuk sampai di kawasan kebun.

"Pasukan bomba melakukan pemerhatian terlebih dulu dan selepas keadaan benar-benar selamat dan buaya terbabit tidak agresif, maka anggota menggunakan tali penjerut bagi menangkap reptilia itu dalam masa setengah jam," katanya.

Menurutnya, buaya terbabit kemungkinan naik ke kawasan kebun kerana lokasi bersebelahan dengan sungai.

"Buaya itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 1:33 PM