PEMANDANGAN udara di Dataran Lang lokasi yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi. FOTO Bernama
PEMANDANGAN udara di Dataran Lang lokasi yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi. FOTO Bernama
Hamzah Osman


SATU fenomena apabila 1,000 bilik hotel di Langkawi ditempah dalam tempoh 45 minit, hari ini.

Ini berikutan pengumuman kerajaan membenarkan aktiviti pelancongan domestik menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa Rabu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, sebanyak 1,000 tempahan bilik diterima bermula 4 petang.

"Lebih mengujakan apabila 700 daripada tempahan itu sudah membuat pembayaran, sekali gus memberi petanda amat positif kepada industri pelancongan Langkawi.

"Malah, tempahan terus mencurah-curah masuk hingga malam ini membabitkan hotel tiga bintang dan ke atas sekitar Pantai Tengah dan Chenang untuk bercuti minggu hadapan," katanya ketika dihubungi.

Zainudin berkata, Langkawi memiliki keseluruhan 13,000 bilik penginapan dan lonjakan kemasukan pelancong yang luar biasa itu tidak membawa sebarang masalah.

"Pengusaha hotel juga sudah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) mengekang Covid-19 seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum pelanggan masuk menginap.

"Untuk lebih merancakkan kemasukan pelancong, syarikat penerbangan perlu beroperasi secara maksimum, selain tiada kenaikan tiket feri dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, pengusaha kereta sewa, Mohd Faizal Hisham Husin, 38, turut mengakui tempahan kereta sewa pandu sendiri mencurah-curah diterima sejak 4 petang tadi.

"Ya, tempahan melonjak luar biasa sejurus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai memberikan perutusan khas petang tadi.

"Insya-Allah, sektor pelancongan Langkawi boleh bangkit dalam tempoh terdekat jika fenomena luar biasa ini berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 9:53 PM