GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


KEBENARAN rentas negeri diharap mampu merancakkan semula sektor pelancongan domestik dan memulihkan ekonomi negara dalam jangka masa pendek.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Tan Kok Liang berkata, Matta juga sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) beberapa minggu lalu untuk membendung kes Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, apabila sektor pelancongan domestik dibuka, ia akan meningkatkan aktiviti ekonomi bukan saja dari segi penginapan hotel tetapi turut membabitkan penerbangan, pengangkutan, peruncitan, makanan dan minuman.

"Secara tidak langsung ia akan mengatasi masalah kewangan melanda sektor pelancongan dan dapat meminimumkan pemberhentian pekerja.

"Negara lain juga menjadikan pelancongan domestik sebagai keutamaan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi," katanya ketika dihubungi.

Kok Liang berkata, sebagai contoh, Jepun memperoleh sejumlah anggaran sebanyak 1.7 trilion Yen atau RM66.2 trilion untuk faedah seperti subsidi pelancongan domestik.

"Kerajaannya memberi subsidi separuh daripada kos pelancongan domestik sehingga 20,000 Yen semalam (RM778) dan menyediakan kupon yang dapat digunakan di kedai cenderamata dan tempat lain bagi merancakkan pelancongan domestik.

"Di negara ini, sebanyak RM92.561 juta dibelanjakan untuk pelancongan domestik pada 2018 dan RM83.103 juta pada 2017," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan dapat mengkaji semula pembukaan pintu sempadan untuk kemasukan pelancong antarabangsa dari negara yang kurang berisiko Covid-19.

"Mungkin boleh dimulakan di negara Asean terlebih dulu atau Taiwan, Vietnam dan Australia yang kurang berisiko Covid-19 bagi membangunkan semula industri pelancongan.

"Jika ditunggu sehingga Ogos ini dibimbangi industri pelancongan akan ditimpa lagi masalah kewangan yang sekarang sudah teruk," katanya.

Katanya, semua syarat yang disarankan untuk pengendali pelancongan akan sesuai dengan panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan kesihatan dan keselamatan individu terjaga.

"Antara SOP ini adalah pembasmian kuman kenderaan pelancongan, kebersihan diri yang ketat dalam kalangan pemandu pelancongan, pembersihan bagasi dan pengurangan kapasiti penuh dalam bas pelancongan sebanyak 50 peratus untuk menjaga jarak sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 9:27 PM