FARIHAH (kiri) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat Perkeso kepada Rohayu dan Abdull Aziz. FOTO Zaid Salim
FARIHAH (kiri) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat Perkeso kepada Rohayu dan Abdull Aziz. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


"SEPULUH hari dia bertarung nyawa di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Tidak sangka pemergiannya berpunca daripada makan kegemarannya," kata Rohayu Ariffin, 50, ibu kepada Nur Amira Fathihah Abdull Aziz, 25, mangsa keracunan puding buih yang meninggal dunia Rabu lalu.

Nur Amira Fathihah menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ di Marang, jam 10.40 pagi.

Rohayu berkata, dia sedih dengan pemergian anak sulungnya itu namun reda dengan apa yang berlaku.

Bagaimanapun katanya, dia tidak menyangka ajal anaknya berpunca daripada makanan kegemaran wanita itu ketika berbuka puasa pada setiap tahun.

Menceritakan sebelum kejadian itu, ibu kepada tiga anak itu berkata, puding buih berkenaan dibelikan arwah secara atas talian untuk juadah berbuka puasa pada hari kedua terakhir Ramadan.

"Suami, Abdull Aziz Idris, 63, dan anak bongsu, Muhammad Amer Hidayat, 18, yang menggemari makanan itu juga mengalami keracunan manakala saya dan anak kedua, Nur Aishah Wahidah, 20, tidak menjamah juadah itu," katanya.

Rohayu berkata demikian ketika ditemui pada program Penyerahan Faedah Pengurusan Mayat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM2,000 yang disampaikan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin di rumahnya di Sungai Kerak, Marang, hari ini.

Katanya, suami dan anak lelaki juga mendapat rawatan di hospital sama, namun dibenarkan keluar selepas lima hari dirawat.

"Keadaan suami dan anak masih lagi tidak selesa dan sesekali mengalami sakit perut," katanya.

Abdull Aziz yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), berkata, selepas kejadian itu, keluarganya serik dan fobia melihat kuih berkenaan.

"Puding buih memang kegemaran kami sekeluarga tetapi selepas kejadian itu, kami fobia dan serik untuk makan makanan itu. Malah, saya juga tidak berani untuk makan makanan yang ada kaitan dengan telur," katanya.

Sementara itu, Farihah berkata, arwah bekerja sebagai juruwang sebuah syarikat pam minyak di Rusila, di Marang, dan keluarga arwah layak menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM675.75 sebulan seumur hidup.

Berita berkaitan:

  • Mangsa puding buih pertama meninggal
  • Telur punca keracunan puding buih
  • Serik makan puding buih [METROTV]
  • 25 lagi mangsa keracunan puding buih
  • Mangsa keracunan puding buih meningkat 74 orang
  • Beraya di hospital angkara puding buih
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 6:54 PM