FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Khidir Zakaria


LELAKI warga emas berusia 71 tahun ditahan polis dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian 11.05 malam itu, lelaki terbabit ditahan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerusi 'Ops Mabuk'.

"Lelaki itu adalah seorang pesara yang tinggal di Bandar Springhill dan ditahan ketika memandu kereta Mercedes pada 11.05 malam.

"Selepas disuruh berhenti, tiada barang salah ditemui di dalam kereta itu namun kandungan alkohol melebihi had dibenarkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu dibawa ke pejabat IPD Port Dickson untuk menjalani ujian saringan pernafasan menggunakan alat EBA-11.

Katanya, hasil ujian menunjukkan bacaan 211 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah dan ia melebihi had ditetapkan (80 mg alkohol/100 mililiter darah).

"Lelaki itu ditahan atas kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan polis kerana faktor usia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2020 @ 2:45 PM