JAMALUDDIN (tengah) bersama sebahagian daripada penghuni RKHPJ.
JAMALUDDIN (tengah) bersama sebahagian daripada penghuni RKHPJ.
Ruwaida Md Zain

"Alhamdulillah, perkara pertama terlintas dalam fikiran saya apabila dimaklumkan menerima sumbangan RM5,000 itu adalah untuk memanfaatkannya bagi tujuan pendidikan 105 anak-anak di sini," kata Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras (RKHPJ), Jamaluddin Wahab, 41.

Menurutnya, beliau bersyukur rumah itu terpilih dalam senarai 13 rumah kebajikan yang menerima sumbangan Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

Program berkenaan mendapat kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2) yang menghulurkan sumbangan kepada 13 rumah kebajikan terpilih.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang masuk tahun ke-13 itu bertujuan membantu segelintir masyarakat yang hidup dalam serba kekurangan supaya dapat menjalani ibadah puasa dan menyambut Syawal dengan lebih ceria.

Menerusi kerjasama itu, dana terkumpul berjumlah RM65,000 disumbangkan ke rumah kebajikan seperti rumah anak yatim, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya di Semenanjung.

Jamaluddin berkata, semua anak-anak di RKHPJ terdiri daripada anak yatim dan yatim piatu termasuk dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berumur lingkungan tiga tahun hingga 17 tahun.

Katanya, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penghuni di situ tidak dapat hadir ke sekolah dan pihaknya sentiasa memastikan mereka mengikuti pembelajaran yang diaturkan guru.

"Guru sentiasa memberi tugasan melalui aplikasi WhatsApp, telefon serta e-mel, malah kita lihat anak-anak diberi tugasan yang banyak, jadi kita perlu sediakan bajet khas untuk kemudahan mereka supaya tidak ketinggalan dan sama dengan pelajaran lain di luar sana," katanya.

Jamaludin berkata, beliau memutuskan untuk membeli beberapa komputer riba dan tablet bagi memudahkan anak-anak belajar mengikut keperluan mereka.

Katanya, sepanjang tempoh PKP, telefon bimbit beliau dan kakitangan digunakan untuk mereka belajar secara dalam talian, jadi wang sumbangan itu disifatkan sebagai durian runtuh kerana membolehkan mereka membeli gajet untuk kemudahan pendidikan mereka.

"Saya beli dalam masa terdekat sebab ia penting untuk mereka. Kita akan sediakan makmal komputer selepas ini untuk mereka, tambahan pula pembelajaran mereka ada perbincangan seluruh kelas, guru nak tunjuk cara pengiraan dan setiap anak pula ada e-mel masing-masing.

"Sebelum ini, mereka bergilir guna telefon bimbit saya, termasuk minta jasa baik warden, kakitangan di sini pinjamkan telefon bimbit mereka namun saya faham itu telefon peribadi dan privasi mereka.

"Dengan mengambil kira perkara inilah saya memutuskan membeli gajet untuk kegunaan anak-anak di sini, tambahan pula mereka belajar di tahap berbeza, kalau beli nanti, mudah untuk kita asingkan mereka," katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa memberi fokus kepada pendidikan kerana ia dapat merubah masa hadapan anak-anak itu.

"Saya tidak mahu mereka ketinggalan dari segi pendidikan walaupun mereka tinggal di rumah kebajikan, tetapi kita mahu memastikan mereka dapat pendidikan sebagaimana anak yang mempunyai keluarga di luar sana," katanya.

INFOGRAFIK
INFOGRAFIK

Dalam pada itu, katanya, selain pendidikan, wang disalurkan itu digunakan untuk tujuan kesihatan.

"Kita beli keperluan asas berkaitan perlindungan kesihatan untuk mereka seperti hand sanitizer, penyukat suhu dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 10:41 AM