KAKITANGAN sekolah mengukur jarak di antara meja mengikut prosedur operasi standard (SOP). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KAKITANGAN sekolah mengukur jarak di antara meja mengikut prosedur operasi standard (SOP). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Suraya Roslan


SARINGAN demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sesak nafas perlu dilakukan terhadap murid, guru dan kakitangan di pintu masuk sekolah sebelum sesi persekolahan bermula setiap hari.

Melalui Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini turut menetapkan jika suhu badan melebihi 37.5 darjah celsius atau bergejala, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.

Pentadbir sekolah dibenarkan untuk melaksanakan saringan berkenaan dalam kawasan sekolah berhampiran dengan pintu masuk utama jika laluan masuk ke sekolah sempit atau berhampiran dengan jalan utama.

Ini berikutan bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial.

Selain itu, pentadbiran sekolah perlu memastikan memastikan masa senggang diperuntukkan bagi pengambilan suhu badan murid yang berjalan

kaki atau berbasikal ke sekolah.

Pentadbiran sekolah perlu melantik guru bertugas untuk mengawal pergerakan murid di pintu masuk utama sekolah semasa tiba dan pulang, memeriksa suhu badan murid dan mengawal pergerakan murid semasa rehat.

Pentadbiran sekolah juga perlu memastikan susunan meja bagi setiap kelas mesti berada dalam jarak satu meter antara satu sama lain.

Sekiranya bilangan murid melebihi kapasiti meja yang disediakan, lebihan murid perlu ditempatkan di kelas yang lain.

Garis panduan turut menetapkan pengusaha kantin hanya menyediakan makanan berbungkus.

Penggunaan kerusi, meja dan ruang makan di kantin tidak dibenarkan selain memastikan murid makan dalam bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bawah seliaan guru pada waktu rehat.

Selain itu, pentadbiran sekolah perlu memastikan murid yang makan di dewan makan asrama pada waktu rehat dalam makluman guru bertugas.

Kehadiran murid ke sekolah secara berfasa dimulai dengan mereka yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Murid lain tidak perlu hadir ke sekolah dan kekal meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah sehingga KPM mengeluarkan pemakluman lanjut.

Selain itu, waktu persekolahan boleh dilaksanakan secara berperingkat selepas mendapat kelulusan pendaftar negeri.

Perhimpunan sekolah dan aktiviti lain membabitkan murid, guru atau warga sekolah berkumpul secara beramai-ramai tidak dibenarkan.

Pentadbir mesti memberikan fokus kepada lima aspek dalam pengurusan sekolah, iaitu pengurusan prasarana, keselamatan murid, guru dan warga sekolah, PdP, peranan ibu bapa dan penjaga serta pengurusan asrama.

KPM akan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2020 @ 12:04 AM