ROBIN ditemui selamat setelah lima hari hilang di hutan. Ihsan Bomba.
ROBIN ditemui selamat setelah lima hari hilang di hutan. Ihsan Bomba.
Norsyazwani Nasri


LELAKI ditemui selamat selepas lima hari hilang ketika memeriksa jerat binatang dipasang di hutan belakang rumah kebunnya di Sungai Besanan, Sungai Tutoh Mulu, Baram, Ahad lalu.

Robin ak Bantan, 51, dari di Rumah 1, Kuala Medalam, Limbang, ditemui dalam keadaan lemah oleh dua pekebun di Long Kabong pada 6.06 petang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bergegas ke lokasi dengan menaiki bot Bomba bersama penduduk kampung sebaik dimaklumkan penemuan mangsa menerusi walkie-talkie pihak Taman Negara Mulu.

"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Mulu untuk pemeriksaan kesihatan.

"Dengan penemuan mangsa operasi SAR ditamatkan pada 9.20 malam tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada 12.03 tengah hari Selasa lalu, selepas ahli keluarga gagal mencari mangsa.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi bergerak ke lokasi kejadian bersama pihak polis pagi semalam.

"Lokasi kawasan berada jauh di pedalaman dan hanya dilalui menggunakan bot.

"Anggaran jarak dari Marudi ke Sungai Tutoh adalah 150 kilometer dengan tempoh perjalanan dianggarkan lima hingga enam jam bergantung dengan keadaan cuaca dan arus sungai," katanya.

Beliau berkata, perjalanan hanya boleh dilalui melalui jalan sungai dan udara ke lokasi SAR.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 11:37 AM