PUSAT Jagaan Damai Permai. FOTO Nur Izzati Mohamad
PUSAT Jagaan Damai Permai. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad

"SAYA terkejut terima panggilan telefon mengatakan terpilih sebagai penerima sumbangan bagi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dan ini dianggap sebagai rezeki," kata Pengurus Pusat Jagaan Damai Permai, Rohana Nanyan.

Menguruskan pusat jagaan itu sejak Februari 2017, Rohana berterima kasih atas sumbangan diberikan di mana ia akan digunakan untuk membuat penambahbaikan operasi pusat jagaan miliknya.

"Ini bantuan yang tidak disangka-sangka dan terus terang saya terkejut apabila diberitahu antara salah satu penerima.

"Syukur sangat dan wang ini akan digunakan untuk tujuan operasi dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penghuni terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui, di Kepala Batas.

Menurut Rohana, pusat jagaan seliaannya kini mempunyai 57 penghuni warga emas yang dijaga oleh 25 kakitangan terdiri jururawat berpengalaman.

ROHANA  memeriksa rekod penghuni yang mendapatkan perkhidmatan. FOTO Nur Izzati Mohamad
ROHANA memeriksa rekod penghuni yang mendapatkan perkhidmatan. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Pusat ini menyediakan pelbagai perkhidmatan perubatan kepada warga emas yang dihantar anak-anak untuk memastikan ibu bapa mereka dijaga dengan baik dan mampu menguruskan diri selepas keluar.

"Ini bukan pusat jagaan untuk warga emas terbiar yang sering kali disalah erti oleh masyarakat bahawa anak membuang ibu bapa, sebaliknya anak menghantar ibu bapa mereka untuk dijaga rapi daripada segi perubatan," katanya.

Katanya, pelbagai perkhidmatan ditawarkan antaranya fisioterapi, dialisis, farmasi dan rawatan-rawatan lain yang bersesuaian.

PELBAGAI aktiviti menarik disediakan bagi menceriakan suasana warga emas yang mendapatkan perkhidmatan. FOTO Nur Izzati Mohamad
PELBAGAI aktiviti menarik disediakan bagi menceriakan suasana warga emas yang mendapatkan perkhidmatan. FOTO Nur Izzati Mohamad

"Kita akan menjaga mereka sehingga pulih dan mampu menguruskan diri sendiri apabila anak-anak mereka pergi bekerja.

"Buat masa ini, penghuni yang tinggal di sini ada empat kategori iaitu berbayar, asnaf melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP), mualaf melalui Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) dan percuma melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR)," katanya.

Mengulas mengenai aktiviti pada masa ini, Rohana berkata, memandangkan warga emas antara berisiko dengan Covid-19, dia menghentikan segala aktiviti dan tidak membenarkan sebarang lawatan diadakan.

"Aidilfitri lalu, saya menyediakan paparan skrin supaya penghuni dapat bercakap dengan ahli keluarga mereka melalui panggilan video," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 9:07 AM