Bas yang membawa tahanan Imigresen yang positif COVID-19 diiringi kenderaan milik Jabatan Imigresen dilihat memasuki Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.
Bas yang membawa tahanan Imigresen yang positif COVID-19 diiringi kenderaan milik Jabatan Imigresen dilihat memasuki Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.
BERNAMA

MISI asing membabitkan warga mereka yang terjejas akibat Covid-19 di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas tindakan segera memastikan rakyat mereka yang dijangkiti menerima rawatan sewajarnya.

Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia memberitahu, pihaknya tidak dapat memberikan jumlah sebenar warga Bangladesh yang dijangkiti, kerana masih menunggu dan melakukan pengesahan maklumat.

"Kami menerima maklumat mengenai mereka yang dijangkiti Covid-19 melalui saluran komunikasi biasa setiap hari. Jadi bilangannya mungkin sentiasa berubah. Kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia untuk inisiatif dan tindakan atas dasar kemanusiaan yang telah dilaksanakan," kata suruhanjaya itu.

Pihaknya juga menghargai usaha kerajaan Malaysia memastikan pendatang yang mempunyai atau tanpa dokumen diberi akses untuk mendapatkan ujian saringan dan rawatan Covid-19.

Justeru pihaknya menggesa lebih ramai migran tampil menjalani saringan.

"Kerajaan Malaysia sudah beri kesempatan kepada migran tanpa dokumen mendapatkan rawatan di hospital. Keputusan yang tepat pada masanya dan kami amat menghargainya," tambah Suruhanjaya Tinggi itu.

Bangladesh dan Malaysia mempunyai hubungan dua hala sangat baik, bekerjasama dengan semua kementerian serta agensi berkaitan, keperihatinan dan sikap ramah yang diberikan amat disanjung.

"Sangat penting untuk bekerjasama, terutama semasa pandemik ini dan ia sedang dilakukan," katanya.

Berhubung usaha menghantar pulang warganya yang tidak mempunyai dokumen, Suruhanjaya Tinggi Bangladesh berkata perkara itu akan diteruskan berdasarkan peraturan dan undang-undang kedua-dua negara.

Sementara itu, sumber rasmi Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai warganegaranya yang tidak mempunyai dokumen ditahan di pusat tahanan imigresen di sini.

"Ada sebahagian mereka didapati positif Covid-19 dan diberi rawatan sewajarnya mengikut protokol Kementerian Kesihatan. Kami masih menunggu maklumat mengenai semua yang terbabit," katanya.

Menurut pegawai itu lagi Misi Vande Bharat - operasi yang dilancarkan kerajaan India untuk membawa pulang warganya yang terkandas di beberapa negara terpilih - turut tertakhluk kepada tahanan di depot imigresen.

Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan pihaknya menerima kerjasama baik yang diberikan agensi berkaitan untuk mengendalikan penerbangan dari Kuala Lumpur di bawah misi berkenaan.

Setakat ini, 10 penerbangan sudah dikendalikan ke beberapa destinasi di India, kira-kira 1,700 warga India yang terkandas selamat kembali ke negara asal mereka.

Dalam perkembangan berasingan, Suruhanjaya Tinggi India juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia membantu warganegara India, yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), katanya.

Kementerian Kesihatan pada 21 Mei berkata pihaknya mengesan kluster baharu kes Covid-19 membabitkan warga asing di DTI Bukit Jalil diikuti DTI Semenyih (23 Mei) dan Sepang (24 Mei).

Antara warganegara yang disahkan positif setakat ini termasuk Bangladesh, India, Nepal, Indonesia, Myanmar, Pakistan, China, Kemboja, Sri Lanka, Filipina, Libya, Mesir dan Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:09 PM