KEMALANGAN membabitkan sebuah motosikal melanggar segi tiga amaran treler rosak di Kilometer 84.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
KEMALANGAN membabitkan sebuah motosikal melanggar segi tiga amaran treler rosak di Kilometer 84.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Nor Farhani Che Ad

OPERATOR kilang maut selepas motosikal ditunggangi melanggar segi tiga amaran yang diletak di belakang sebuah treler rosak di Kilometer 84.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 8.40 pagi, Muhamad Firdaus Muhamad Fuzi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang Yamaha 135LC dipercayai dari arah Plaza Tol Sungai Petani Utara ke arah Plaza Tol Gurun.

"Segi tiga amaran itu diletakkan kerana sebuah treler Hino mengalami kerosakan pada pam minyak.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa yang dipercayai mengantuk melanggar segi tiga amaran berkenaan menyebabkan ia hilang kawalan ke kanan lalu terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adzli berkata, kepala mangsa dipercayai terhentak di atas permukaan jalan dan mengalami kecederaan serius.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 3:04 PM