Noorazura Abdul Rahman

"TAK sangka cinta monyet kami pada zaman sekolah menengah kembali bertaut dan akhirnya disatukan hari ini walaupun dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," kata Muhammad Hanafi Rusmadi,28.

Muhammad Hanafi atau lebih dikenali Epy Kodiang menamatkan zaman bujangnya hari ini dengan seorang guru tuisyen, Siti Rahayu Omar,28, yang dikenali sejak kecil.

Kata pelakon dan pelawak ini, cinta mereka kembali bertaut pada April tahun lalu ketika dia pergi mengambil tempahan sandwich di rumah Siti Rahayu.

"Kami tinggal satu kampung dan satu sekolah rendah dan menengah, sewaktu di tingkatan satu cinta kami mula berputik namun masing-masing tidak menunjukkan kesungguhan, nama pun cinta monyet.

"Apabila berjumpa semula tahun lalu, kami mengenali dengan lebih rapat dan merancang untuk bernikah kelmarin, namun akibat PKPB, Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu memutuskan majlis akad nikah berlangsung hari ini," katanya ketika di temui selepas dinikahkan di pejabat agama berkenaan, hari ini.

Epy yang memulakan kerjayanya sebagai peserta program pertandingan lawak di sebuah stesen televisyen berbayar pada 2011, berkata walaupun sedih tidak dapat melangsungkan perkahwinan seperti orang lain, namun dia bersyukur kerana dapat bernikah dengan majlis yang lebih mudah, ringkas dan menjimatkan kos.

Bagi Siti Rahayu, dia gembira sah menjadi isteri kepada Epy dengan sekali lafaz.

Katanya, kenduri perkahwinan mereka tetap akan dilangsungkan selepas PKPB namun hanya secara sederhana.

Epy Kodiang dan Siti Rahayu adalah antara 17 pasangan yang dinikahkan hari ini di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu.

PASANGAN adik beradik selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu. FOTO Amran Hamid
PASANGAN adik beradik selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu. FOTO Amran Hamid

Selain mereka, tiga beradik dari Tunjang, Jitra turut terpaksa melupakan hasrat untuk menaiki pelamin kerana memilih untuk dinikahkan dalam tempoh PKPB.

Mohamad Helmi Mohd Nasir,29, Mohamad Hafiz, 26, dan Solehah,23, dinikahkan oleh wali masing-masing di hadapan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Ahmad Muzammil Yub disaksikan dua kakitangan pejabat agama berkenaan.

Menurut Solehah, mereka sepatutnya mengadakan kenduri pada Ahad baru-baru ini dan melangsungkan akad nikah pada hari berbeza pada bulan lalu.

"Semua tempahan katering, lembu dan pelamin kami terpaksa batalkan, kami pilih untuk buat yang wajib dulu.

"Selepas PKPB nanti, kami sekeluarga akan bincang lain soal kenduri," katanya yang memilih anggota tentera sebagai pasangan hidup.

Sementara itu, Ahmad Muzzamil, berkata, hampir 100 pasangan sudah dinikahkan pihaknya sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Katanya, majlis akan nikah seterusnya akan berlangsung pada 9 Jun ini dengan jumlah yang mungkin tidak melebihi 20 pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 2:46 PM
HANAFI bersama pasanganya, Siti Rohayu selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu. FOTO Amran Hamid
HANAFI bersama pasanganya, Siti Rohayu selepas dinikahkan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu. FOTO Amran Hamid