IDRIS (dua kanan) bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Pengerusi Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusoff Abu Hassan (kanan) melihat keadaan Sungai Pulau Gadong yang tercemar, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
IDRIS (dua kanan) bersama ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan Pengerusi Pembela Klebang Besar, Datuk Mohd Yusoff Abu Hassan (kanan) melihat keadaan Sungai Pulau Gadong yang tercemar, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


"BAGAIMANA saya mahu lompat kepada Pakatan Harapan (PH), sekarang ini mereka mahu pandang muka saya pun tidak minat (mahu ajak sertai PH).

"Untuk makluman, saya masih kekal setia dengan UMNO serta Perikatan Nasional (PN) dan tidak sesekali akan khianat dengan mandat pengundi saya," kata bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Kenyataan itu, susulan beberapa laporan di media sosial yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang itu antara beberapa wakil rakyat di Melaka yang akan meninggalkan PN serta menyertai PH.

Beliau berkata, ketika menjadi ketua pembangkang, beliau ditekan namun jiwanya tetap kekal dengan prinsip untuk terus setia bersama UMNO.

"Masa menjadi ketua pembangkang sebelum ini, banyak tohmahan (dalam kalangan pemimpin UMNO) dan tidak kurang yang menentang saya, tapi saya tetap bersama parti dan kekal berfungsi sebagai ketua pembangkang.

"Sekarang saya dilantik sebagai EXCO negeri, takkan saya mahu pindah ke pembangkang pula sedangkan kita sekarang menjadi kerajaan. Ia tindakan orang pendek akal," katanya dalam sidang media di Pulau Gadong, Klebang Besar, Melaka, hari ini.

Sejak minggu lalu, tular di media sosial mengenai kononnya Idris bakal mengetuai empat ADUN melompat ke PH, sekali gus dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13.

Menurut Idris, ketika peralihan kerajaan PH kepada PN memang ada penawaran untuk beliau dilantik sebagai Ketua Menteri oleh PH sekiranya melompat parti.

"Dalam keadaan rakyat resah dan gelisah akibat wabak Covid-19, tidak wajar dalam kalangan kita melakukan provokosi politik, apatah lagi ia menjadi kepentingan diri dan bukannya bersifat kepentingan rakyat seperti diharapkan pengundi.

"Barisan Nasional (BN) pernah tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan kesedaran mengenai kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini terhadap rakyat jangan diulangi, namun jika masih ada yang mahu berdegil dengan permainan politik yang menjemukan rakyat, terpulanglah," katanya.

Katanya, provokasi politik yang disambut oleh individu berkepentingan peribadi ketika ini adalah dikesali kerana waktu ini sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat.

"Hal politik tidak wajar disensasikan kerana mandat yang diberikan rakyat kepada wakil rakyat adalah tempoh terbaik untuk bekerja.

"Jangan kita buka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk jadikan alasan kerajaan PN bermasalah, tapi provokasi ini tak akan tembus pada diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 7:36 PM