ABDUL Haizul (depan) menyertai gotong-royong membersih Pasar Awam Kajang. FOTO Samadi Ahmad
ABDUL Haizul (depan) menyertai gotong-royong membersih Pasar Awam Kajang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


PASAR Awam Kajang akan dibuka sepenuhnya bermula esok selepas ditutup sejak 21 Mei lalu bagi menjalankan proses sanitasi dan membasmi haiwan perosak tikus.

Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MajlisPerbandaran Kajang (MPKj) Abdul Haizul Faisal Abdul Hamid berkata, pihaknya mengarahkan pengurusan pasar itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penjarakan sosial pelanggan.

Menurut beliau, hanya 30 pelanggan dibenarkan masuk ke pasar itu dalam satu masa dengan pemeriksaan suhu badan dan pemakaian pelitup muka.

"Nasihat kami kepada orang awam adalah pastikan sentiasa mematuhi arahan bagi memastikan pasar ini sentiasa bersih dan terhindardari wabak pendemik Covid-19," katanya.

Pihak mereka turut sedia menamatkan operasi pengusaha gerai di Pasar Awam berkenaan yang tidak menjaga kebersihan.

Katanya, sekiranya peniaga masih berdegil dan tiada perubahan, MPKj akan menarik balik lesen perniagaan pengusaha terbabit.

"MPKj akan bertindak tegas bagi memastikan imej pasar ini sentiasa bersih dalam memutuskan rantaian pendemik wabak Covid-19," katanya kepada media selepas menyertai program gotong royong membersih Pasar Awam Kajang bersama peniaga dan kakitangan MPKj di Kajang, hari ini.

Tinjauan di lokasi mendapati peniaga pasar berkenaan bergotong-royong membersih kawasan pasar dibantu kakitangan MPKj.

"Saya berharap selepas ini peniaga mempunyai kesedaran bagi menjaga kebersihan dan sekiranya masihingkar mereka boleh ditamatkan operasi dan mencari tempat baharu bagi menjalankan perniagaan," katanya.

Pada masa sama, MPKj dengan kerjasama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membuat kawalan di kawasan itu untuk mengawal pergerakan orang awam ke pasar berkenaan dengan menutup beberapa laluan masuk.

Beberapa laluan ke pasar itu masih ditutup bagi mengelak kenderaan orang awam memasuki kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 3:24 PM