GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


HANYA tiga kumpulan iaitu penuntut baharu, tahun akhir dan pasca siswazah dibenarkan ke kampus Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi sesi akademik Oktober ini susulan pandemik Covid-19.

Penuntut pasca siswazah di peringkat Sarjana dan Ijazah Kedoktoran pula adalah mereka yang memerlukan kemudahan makmal serta studio IPT bagi menyiapkan kajian serta penyelidikan masing-masing.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, penuntut lain akan meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

"Kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan mahasiswa sahaja yang dibenarkan ke kampus dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak universiti, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pelajar baharu, kita mahu mereka hadir ke kampus pada Oktober ini bagi membiasakan dan memahami senario landskap pengajian tinggi.

"Mereka tak pernah masuk universiti dan sukar untuk membayangkan kehidupan di sana. Namun, mereka akan diperbanyakkan PdP dalam talian dan kalau perlu bersemuka (dengan pensyarah) perlu mematuhi penjarakkan sosial atau kehendak KKM dan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi temubual bertajuk Normal Baharu Pengajaran dan Pembelajaran di IPT disiarkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 RTM, hari ini.

Mohamed Mustafa menjelaskan bukan semua IPT di negara ini bersedia daripada segi infrastruktur untuk melaksanakan sepenuhnya PdP secara dalam talian.

"Kemudahan infrastruktur di IPT itu adalah antara isu besar bagi melakukan normal baharu PdP ketika virus pandemik masih belum berakhir.

"Isu berkaitan kemampuan infrastruktur perlu ditangani terlebih dahulu kerana sebahagian IPT masih belum membuat persediaan secara sepenuhnya. Kita ada masa kira-kira empat bulan sebelum pembukaan sesi akademik Oktober ini," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang berbincang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), pihak universiti serta syarikat telekomunikasi berhubung akses internet.

"Kita juga sedang meneliti sama ada universiti boleh mengurangkan (yuran pengajian) atau tukarkan kepada kemudahan Internet kerana pelajar tidak menggunakan asrama, kemudahan sukan, makmal, perpustakaan dan bilik kuliah yang sekali gus IPT berkenaan mendapat penjimatan termasuk utiliti.

"Bagi syarikat telekomunikasi pula boleh memikirkan peranan dalam membantu pengajian tinggi dan saya percaya mereka masih mampu mendapat keuntungan kerana ini (PdP dalam talian) perkara baharu yang boleh memberi ruang besar kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 12:55 PM