CHE Abdullah ketika melawat tapak kawasan ternakan ikan kelah dan ikan koi di Kampung Chicha, Pasir Tumboh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CHE Abdullah ketika melawat tapak kawasan ternakan ikan kelah dan ikan koi di Kampung Chicha, Pasir Tumboh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


PAS yakin Pakatan Harapan (PH) di Kelantan kehilangan wang deposit selain tidak ada lagi wakil daripada Parti Amanah Negara (Amanah) jika berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, beliau yakin PH sendiri tidak mahukan PRU ditambah dengan situasi negara yang sedang berdepan Covid-19 selain isu politik yang berlarutan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II itu berkata, rakyat seboleh-bolehnya mahu sebuah kerajaan yang mantap dan tiada pergolakan di peringkat pimpinan yang menyusahkan.

"Kita tidak 'mengalukan' PRU tetapi lebih mengutamakan kepentingan serta perasaan rakyat selain menitik beratkan kehidupan dan kesusahan rakyat yang masih berlaku hari ini.

"Namun begitu, jika PRU tetap diadakan, PAS bersedia bagi memastikan Muafakat Nasional atau kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendapat kejayaan besar," katanya dalam sidang media selepas melawat kawasan ternakan ikan kelah di Kampung Chicha, Pasir Tumboh, Kota Bharu, hari ini.

Che Abdullah berkata, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuka ruang di parlimen untuk pihak pembangkang berbahas serta mengemukakan masalah rakyat dan pastinya kerajaan bersedia menjawab setiap persoalan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Che Abdullah berkata, kerajaan menyediakan peruntukan bagi membantu kumpulan nelayan dan usahawan dalam bidang penternakan sebagai menyokong usaha golongan terbabit dalam bidang yang diusahakan mereka.

"Program lawatan saya ke projek penternakan ikan kelah hari ini membuktikan satu kejayaan besar terutama apabila mengetahui ternakan terbabit mempunyai nilai harga yang tinggi.

"Saya berharap golongan muda dapat menceburi bidang penternakan ikan yang dilihat mempunyai jaminan untuk berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 4:45 PM