Abdul Kadir Abu Hashim menunjukkan buku cadangan pembinaan Santuari Gajah Perak kepada media di Dewan Mesyuarat Pejabat Tanah dan Daerah Gerik petang tadi.
Abdul Kadir Abu Hashim menunjukkan buku cadangan pembinaan Santuari Gajah Perak kepada media di Dewan Mesyuarat Pejabat Tanah dan Daerah Gerik petang tadi.
Mohd Rashidi Yusuf


SEBUAH pusat santuari gajah baharu dengan kos kira-kira RM40 juta akan dibina di Perak sebagai usaha berterusan memulihara haiwan liar itu sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, projek itu sudah mendapat kelulusan Kementerian Tenaga, Air dan Sumber Asli dengan persetujuan kerajaan negeri Perak.

Menurutnya, pembinaan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 yang dijangka pada awal tahun depan di kawasan berkeluasan 40.4 hektar di Sungai Chermin, Batu 11, Jalan Raya Timur-Barat.

Katanya, gajah liar yang ditangkap kerana mendatangkan masalah kepada penduduk akan dimasukkan ke pusat itu apabila ia siap dibina kelak.

"Pusat santuari itu diharap akan menjadi pusat pemuliharaan gajah, sekali gus mampu mengurangkan konflik antara haiwan liar terbabit dengan manusia.

"Sebenarnya, konflik antara gajah dan manusia ini nak kata teruk tidak sangat, tapi ada dan bolehlah kita kata satu dalam 10," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Taklimat dan Mesyuarat Cadangan Pembangunan Santuari Gajah Perak di Pejabat Tanah dan Daerah Gerik, hari ini.

Hadir sama, Menteri Tenaga, Air dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Hulu Aznel Ibrahim, Adun Temenggor, Salbiah Mohamed dan Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff.

Abdul Kadir berkata, konsep santuari gajah Perak menyerupai Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Pahang, namun terdapat perbezaan dari segi lokasi.

Katanya, kedudukan lokasi pusat itu berhampiran jalan utama sekali gus mudah untuk dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

"Pusat itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti rumah pekerja, rumah pengawal, tandas, menara pandang, surau, wakaf, pelantar pelepasan, pusat asuhan dan stor makanan," katanya.

Katanya, populasi gajah di Hulu Perak dianggarkan antara 100 hingga 120 ekor di tujuh kawasan, manakala terdapat antara 90 hingga 100 ekor di Hutan Belum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 7:57 PM