EMI Susilawati Mohd Johari sedang melihat barangan yang dijual. FOTO Ihsan Kohijrah Mart
EMI Susilawati Mohd Johari sedang melihat barangan yang dijual. FOTO Ihsan Kohijrah Mart
Muhaamad Hafis Nawawi


KETIKA pengguna lain resah ekoran kenaikan harga barang terutamanya bekal daan ayam yang meningkat melebihi harga siling hingga mencecah RM15, warga Shah Alam khususnya sekitar Jalan Kebun, Bukit Kemuning, dekat sini masih mampu tersenyum.

Mana tidaknya mereka masih mempunyai pilihan dan mampu mendapatkan bekalan keperluan dengan harga yang berbaloi dan munasabah di Kohijrah Mart di Bukit Kemuning dekat sini.

Kedai milik koperasi Hijrah Selangor menjadi pilihan pengunjung mendapatkan bekalan barangan basah seperti ayam dan hasil laut seperti ikan, sotong, udang, kupang , lala dan pepahat yang dibekalkan terus oleh Persatuan Nelayan Negeri Selangor (PENEGOR ) yang dijual pada harga munasabah.

Seorang pengunjung, Emi Susilawati Mohd Johari, 42, berkata beliau berpuas hati dengan harga ikan yang dijual kerana tidak berubah walaupun selepas musim perayaan.

"Saya difahamkan ikan kembung yang dijual di sini kekal harganya RM10 sekilogram dan selain itu kedai ini juga mempunyai pelbagai jenis ikan, ayam dan daging selain keperluan lain seperti kuih dan barangan dapur.

"Harga yang ditawarkan juga berpatutan malah ada yg murah berbanding kedai lain dan ada juga yang sama namun saya tetap ke sini sebagai tanda sokongan kepada pengeluar barangan dan pemilik kedai," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Ahmad Sobri Hashim, 49, berkata dia memilih untuk membeli belah di kedai berkenaan kerana keselesaan dan selamat ketika berurusan berikutan mereka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kedai berkenaan tidak menggalakan pelanggan ramai masuk pada satu-satu masa selain menyediakan pensanitasi tangan malah barangan yang dijual juga segar serta harganya berbaloi," katanya.

Sementara itu, Pengurus Kohijrah Muhammad Syukri Ismail , berkata pihaknya bertindak sebagai pengantara antara Persatuan Nelayan Selangor (PENEGOR) dan pengguna menyebabkan pengguna mampu mendapatkan bekalan segar dan murah.

"Untuk bekalan makanan laut, persatuan berkenaan menghantar makanan setiap hari ke sini manakala bekalan ayam diperoleh daripada pembekal muslim di Shah Alam," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 4:15 PM