ANTARA barang yang dirampas. FOTO MD FUZI LATEH
ANTARA barang yang dirampas. FOTO MD FUZI LATEH
Md Fuzi Abd Lateh


GENG Walid yang dipercayai menjadi punca kegiatan pecah rumah berleluasa dan mencuri sarang burung walid di daerah Hulu Selangor berjaya ditumpaskan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, bertindak atas maklumat orang awam, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 50 tahun pada 1.30 petang di bangunan sarang burung walid yang terletak di Jalan Stesen, Rasa di Hulu Selangor.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan kelima-lima suspek menyorok di atas siling tingkat tiga bangunan itu.

"Kami berjaya menangkap kesemua suspek yang cuba meloloskan diri. Siasatan awal yang dilakukan mendapati bangunan sarang burung itu diceroboh mereka dengan memotong mangga pintu dengan pisau pemotong.

"Sehingga kini, semua suspek yang disoal siasat mengaku terbabit dengan tiga kes pecah rumah penduduk sekitar Hulu Selangor sejak beberapa bulan lalu. Selain itu mereka juga memecah masuk bangunan sarang burung walid bagi mencuri sarang burung dan beberapa peralatan lain milik mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, polis juga berjaya merampas dua mesin pengisar (grinder), spanar dan pemutar skru digunakan untuk tujuan pecah rumah dan bangunan sarang itu yang diletakkan dalam kereta jenis Toyota Camry milik ketua geng itu.

Katanya, barangan lain yang dirampas adalah beg plastik berisi sarang burung bernilai RM3,000, pemotong hidrolik, tiga pemutar skru, gergaji kayu, spanar mudah laras, playar, dua lampu suluh kepala dan beg komputer riba.

"Hasil semakan mendapati mereka mempunyai rekod penyalahgunaan dadah dan jenayah lampau. Salah seorang suspek juga sangat dikehendaki polis kerana terbabit kesalahan jenayah bersabit laporan di Rawang, Selangor baru-baru ini.

"Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Semua ditahan reman empat hari bermula semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 12:09 PM