PERALATAN perlindungan peribadi (PPE).
PERALATAN perlindungan peribadi (PPE).
Mohamed Farid Noh


STOK peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi petugas kesihatan di negeri ini mencukupi untuk tempoh 27 hingga 187 hari lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, pemakaian PPE penting bagi memastikan petugas kesihatan terlindung daripada dijangkiti Covid-19.

"Penggunaan stok PPE juga bergantung kepada bekalan yang mencukupi dan pemakaian yang bersesuaian berdasarkan lokasi bertugas.

"Ia seperti Pusat Saringan Pengambilan Sampel (Swabbing Centre), Pusat Kuarantin dan wad tertentu di hospital yang menempatkan pesakit positif Covid-19 dan individu di bawah pengawasan (PUI)," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ada 16 jenis barangan PPE yang digunakan oleh petugas kesihatan seperti pelitup muka N95, apron dan cecair pembasmi kuman.

"Pemantauan harian stok PPE menunjukkan bekalan mencukupi untuk semua 16 jenis barangan ini.

"Pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu serta persatuan turut berganding bahu memastikan bekalan PPE sentiasa ada," katanya.

Menurut Vidyananthan, peralatan rawatan seperti alat bantuan pernafasan juga penting bagi rawatan pesakit Covid-19.

"Di semua 12 hospital kerajaan negeri, terdapat 208 unit alat bantuan pernafasan dan ia cukup untuk rawatan pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 2:47 PM