GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Aizuddin Saad
Omar Ahmad


SEBANYAK 10,669 beg darah berjaya dikumpulkan Pusat Pendermaan Darah Negeri Johor sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Aman Rabu berkata, wabak pandemik Covid-19 tidak menghalang warga Johor menderma darah.

Katanya, dari jumlah itu, 4,710 beg darah berjaya dikumpulkan sepanjang Ramadan.

"Sumbangan darah melalui Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebanyak 2,441 beg, Hospital Sultan Ismail (HSI) (722), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat (721), Hospital Sultanah Fatimah Muar (453) dan Hospital Segamat (373).

"Ia hasil kerjasama penderma darah yang lebih dikenali sebagai #johorbloodwarriors, para sukarelawan, persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbangkan tenaga, masa, wang dan idea membuahkan hasil amat membanggakan, apabila bekalan darah di negeri Johor berjaya dikekalkan melebihi paras selamat sehingga ke hari ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Aman, pengumuman kerajaan membenarkan empat sekeluarga yang tinggal serumah menaiki kenderaan yang sama membantu meningkatkan aktiviti derma darah.

Katanya, kelonggaran itu digunakan sebaiknya penderma darah yang membawa ahli keluarga mereka untuk menderma di pusat pendermaan darah dan juga lokasi kempen derma darah dijalankan.

"Ini wajar dijadikan contoh kerana menjadikan aktiviti pendermaan darah bersama keluarga semasa tempoh PKP dapat memupuk kesedaran dalam kalangan ahli keluarga yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur untuk menjadi penderma darah tetap setiap tiga bulan.

"Ia secara tidak langsung membantu mengekalkan bekalan darah di tahap yang selamat. Cabaran Ramadan sudah berakhir dan seterusnya, ialah untuk mengekalkan bekalan darah yang selamat semasa dan selepas musim perayaan.

"Warga Johor diseru untuk terus menderma darah di Pusat Pendermaan Darah sekitar negeri ini yang akan mula beroperasi pada 26 Mei mulai 8 pagi sehingga 4 petang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2020 @ 1:36 PM