DUA lelaki Rohingya yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Perasing kerana melakukan perjalanan merentas negeri untuk menyambut hari raya. FOTO IHSAN FB POLIS
DUA lelaki Rohingya yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Perasing kerana melakukan perjalanan merentas negeri untuk menyambut hari raya. FOTO IHSAN FB POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


ALASAN mahu pergi beraya dan mencari makanan diberikan lima lelaki termasuk dua warga Rohingya ketika ditahan kerana cuba merentas negeri di dua sekatan jalan raya (SJR) di Chukai, semalam.

Dua lelaki Rohingya berusia 20-an dan 30-an itu ditahan dalam SJR di Perasing, manakala tiga lelaki lain pula ditahan di SJR di sempadan Kemaman-Kuantan di Chendor.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua lelaki warga asing terbabit yang menaiki motosikal ditahan jam 4 petang.

Katanya, mereka memaklumkan dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menghala ke Chukai, namun gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri daripada polis atau mana-mana pihak berkaitan.

"Mereka memaklumkan tahu larangan merentas negeri, namun berbuat demikian kerana mahu menyambut Aidilfitri bersama rakan disebabkan sudah lama tidak berjumpa," kataya ketika dihubungi, hari ini.

Hanyan berkata, tiga lelaki lain pula ditahan kerana cuba merentas negeri dari Cherating, Pahang ke Kemaman pada 3.30 petang.

Katanya, mereka berusia 20 hingga 60 tahun memaklumkan merentas negeri untuk mencari makanan dengan alasan kedai makan di Cherating ditutup kerana Aidilfitri.

"Anggota polis mengarahkan untuk berpatah balik, namun mereka enggan memberi kerjasama dengan salah seorang daripadanya turut mengeluarkan kata-kata kesat kepada pihak berkuasa.

"Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk tindakan lanjut kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 5:35 PM