Ruwaida Md Zain


POLIS Selangor menjalankan pemantauan melalui udara dengan dron bagi mengenal pasti rumah yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ziarah sempena Aidilfitri di Kampung Perepat, Klang Utara, Klang, semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Datuk K Kumaran berkata, ia dilaksanakan pasukannya dengan kerjasama 'Team Drone' Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman semalam lima jam antara 3 petang hingga 8 malam tadi.

"Lokasi pemantauan di Kampung Perepat ini meliputi kawasan seluas enam kilometer persegi dan dengan kepadatan perumahan sebanyak 290 rumah.

"Hasil pemantauan dengan menggunakan kaedah dron, polis mendapati terdapat 11 rumah dikenal pasti menjadi tumpuan kenderaan dan orang awam," katanya dalam satu kenyataan.

Kumaran berkata, beliau yang mengetuai pasukan pemantau terbabit membuat pemeriksaan di rumah yang dikenal pasti bersama pegawai dan anggota.

IMEJ Kampung Perepat dari udara yang dirakam dengan dron. FOTO Ihsan PDRM
IMEJ Kampung Perepat dari udara yang dirakam dengan dron. FOTO Ihsan PDRM

"Hasil pemeriksaan mendapati semua rumah itu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu kurang daripada 20 orang dan polis berpendapat bahawa penduduk Kampung Perepat mematuhi arahan PKPB ini.

"Polis turun melakukan pemeriksaan kenderaan dan mendapati tiada pergerakan rentas negeri berlaku," katanya.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan, beliau turut mengambil kesempatan menasihati masyarakat agar sentiasa mematuhi SOP PKPB khususnya dalam penjarakan sosial, penggunaan pelitup muka serta menjaga kebersihan diri.

"Polis turut menasihatkan agar tidak bermain mercun kerana ia bukan sahaja perbuatan yang menyalahi undang-undang tetapi juga boleh mengundang bahaya kepada masyarakat.

"Pasukan Pemantau juga meminta penduduk kampung agar menyalurkan maklumat sekiranya ada mana-mana pihak yang melanggar PKPB ini kepada polis," katanya.

PEMERIKSAAN di rumah penduduk kampung. FOTO Ihsan PDRM
PEMERIKSAAN di rumah penduduk kampung. FOTO Ihsan PDRM

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 9:03 AM