AHMAD Hisham (kiri) akhirnya berjaya derma darah selepas lebih 10 mencuba. FOTO ihsan JPNT
AHMAD Hisham (kiri) akhirnya berjaya derma darah selepas lebih 10 mencuba. FOTO ihsan JPNT
Malik Muhamad


"SUDAH lebih 10 saya cuba untuk derma darah, namun kecewa kerana tidak dibenarkan berikutan sebelum ini darah saya ada masalah kepekatan sangat rendah.

"Tetapi malam tadi saya bersyukur dan berterima kasih kepada kakitangan Unit Tabung Darah (UTD), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu kerana membenarkan saya menyumbang darah buat kali pertama dalam hidup," kata Ahmad Hisham Usoh@Yusoff.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Nanas, Kuala Nerus itu tidak putus asa apabila sanggup datang ke HSNZ malam tadi bersama 30 guru daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus untuk menderma darah.

Katanya, dia tidak menyangka kali ini hasratnya yang bersungguh-sungguh untuk menderma darah buat kali pertama tercapai, biarpun pada awalnya tidak meletakkan harapan tinggi.

"Pengalaman pertama ini menjadi kenangan manis dan sejarah buat saya kerana keinginan sudah lama tersimpan akhirnya tercapai jua, apatah lagi pada bulan Ramadan mulia ini.

"Lebih-lebih lagi, ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan dan selepas ini saya akan terus menyumbang darah demi menyelamatkan mereka yang memerlukan," katanya.

Program selama dua jam itu bermula pada 8 malam di HSNZ dna turut dihadiri Ketua UTD HSNZ, Dr Mohd Muhaimin Kambali.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, program kelolaan Sektor Psikologi Kaunseling JPNT dan Unit Psikologi Kaunseling Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan kerjasama UTD, HSNZ itu adalah aktiviti tahunan sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri.

Beliau berkata, pengorbanan warga guru bukan hanya terhad mendidik pelajar di dalam kelas semata-mata, tetapi mereka turut menderma darah demi menyelamatkan insan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 10:35 PM