KEADAAN motosikal dinaiki suami isteri sebelum mereka dilanggar dan ditetak suspek, pagi semalam. FOTO ihsan polis.
KEADAAN motosikal dinaiki suami isteri sebelum mereka dilanggar dan ditetak suspek, pagi semalam. FOTO ihsan polis.
Raja Noraina Raja Rahim


AKIBAT perebutan harta pusaka, seorang lelaki tergamak melanggar dan menetak abang serta kakak iparnya sebelum dia ditemui mati di sebuah lombong di Antara Gapi, Hulu Selangor, pagi semalam.

Lelaki berusia 65 tahun dan isteri berusia 56 tahun itu cedera di bahagian kaki serta tangan selepas ditetak adiknya menggunakan parang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, sebelum itu suami isteri terbabit yang menunggang motosikal dilanggar suspek di hadapan kuil di Kampung Chuang Rasa, Rasa, pada 7.56 pagi.

"Suspek yang menaiki Proton Iswara kemudian menetak suami isteri itu sebelum melarikan diri. Seorang lelaki yang melihat kejadian menghampiri mangsa yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

"Saksi lain terdengar bunyi dentuman kuat dan apabila keluar rumah mendapati suami isteri terbaring tepi jalan.

"Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Arsad berkata, hasil siasatan mendapati suspek adalah adik kandung mangsa lelaki sebelum menemui sebilah parang digunakan suspek di tepi jalan simpang tiga Pekan Rasa berdekatan perhentian bas.

Katanya, selepas kejadian itu, polis menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan sebuah kereta dipercayai milik suspek di lombong Antara Gapi pada 1.10 tengah hari.

"Kereta itu dijumpai terjunam di tebing lombong dan pintu bahagian pemandu dalam keadaan terbuka. Mayat turut ditemui dalam keadaan terapung berhampiran kereta itu.

"Polis meminta bantuan bomba untuk mengangkat mayat dan hasil pemeriksaan pada fizikal tiada kecederaan serta unsur jenayah. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, polis mempercayai penemuan mayat ada kaitan kejadian langgar dan tetak suami isteri terbabit.

Katanya, motif kejadian dikenalpasti kerana perebutan harta pusaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan manakala kematian diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 12:05 AM