JENGKAUT yang digunakan untuk membersihkan kawasan hutan tanah kerajaan terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jengka. FOTO MOHD RAFI MAMAT
JENGKAUT yang digunakan untuk membersihkan kawasan hutan tanah kerajaan terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jengka. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


PEJABAT Hutan Daerah (PHD) Temerloh dan Bera mengesan kegiatan menceroboh tanah kerajaan secara haram untuk dijadikan kebun bersebelahan Hutan Simpan Jengka, Maran, semalam.

Pegawainya Azmi Abdul Rahman berkata, pemeriksaan di kawasan terbabit menemui jengkaut untuk membersihkan kawasan hutan terbabit yang terletak hampir dengan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Menurutnya, kejayaan berkenaan hasil rondaan berjadual membabitkan kawasan panas di daerah ini oleh Unit Penguatkuasa PHD Temerloh dan Bera diketuai Pengawas Hutan Mohd Kamal Mansor bersama tiga anggota.

Katanya, pemeriksaan menemui kawasan hutan yang diteroka secara haram terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Jengka.

"Kegiatan berkenaan dipercayai didalangi individu tertentu yang mengambil kesempatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk menceroboh hutan terbabit.

"Kita menyerahkan kes berkenaan kepada Bahagian Penguatkuasa Pejabat Tanah dan Daerah Maran untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan di kawasan itu mendapati pihak terbabit tidak menebang pokok balak pelbagai spesis, sebaliknya mereka hanya bertindak membersih tempat berkenaan sahaja.

"Kita memandang serius kegiatan menceroboh secara haram membabitkan hutan simpan dan tanah kerajaan.

"Usaha membanteras kegiatan pihak terbabit dilakukan menerusi pemeriksaan dan operasi secara berjadual terutama membabitkan kawasan panas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 9:00 PM