Pegawai KPDNHEP memeriksa harga barang keperluan ketika mengadakan pemantauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Pasar Besar Alor Setar. FOTO AMRAN HAMID
Pegawai KPDNHEP memeriksa harga barang keperluan ketika mengadakan pemantauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Pasar Besar Alor Setar. FOTO AMRAN HAMID
Zuliaty Zulkiffli

PEJABAT Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengeluarkan notis kepada 23 peniaga ayam di negeri itu kerana menaikkan harga terlalu tinggi.

Ketua Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, mereka diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata, notis diberikan ketika pemeriksaan harga ayam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu.

"Ini berdasarkan maklumat dan aduan dari orang awam yang kami terima mendakwa harga ayam terlalu tinggi.

"Kita masih menjalankan siasatan berikutan dakwaan peniaga yang memaklumkan harga terpaksa dinaikkan disebabkan pemborong meletakkan harga yang tinggi kepada mereka," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan 10 barang kawalan sempena musim perayaan di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.

Omar berkata, pemeriksaan yang bermula hari ini sehingga 3 Jun ini adalah untuk memastikan bekalan makanan mencukupi selain tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan hari ini mendapati 100 peratus peniaga mematuhi peraturan dengan meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual mereka.

"Malah hasil tinjauan hari ini mendapati harga ayam dijual di bawah paras harga kawalan iaitu RM7 sekilo berbanding harga kawalan iaitu RM7.50 sekilo.

"Kita juga menasihatkan pengguna supaya menyemak harga terlebih dahulu sebelum membuat pembelian dan jika didapati harga yang dijual mahal, mereka boleh membuat laporan segera kepada pihak kami untuk memudahkan tindakan diambil," katanya.

Omar berkata, sepanjang Januari hingga semalam, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan terhadap 16,932 peruncit, pemborong dan pengilang di negeri ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu nilai rampasan adalah sebanyak RM64,580 manakala jumlah kompaun adalah sebanyak RM49,750 yang membabitkan 324 kes pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 2:32 PM