PETRONAS sumbangkan cecair pembersih tangan kepada sebuah rumah orang tua dan sekolah di Sabah dan Labuan - Ihsan PETRONAS
PETRONAS sumbangkan cecair pembersih tangan kepada sebuah rumah orang tua dan sekolah di Sabah dan Labuan - Ihsan PETRONAS
Oleh Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) menerusi Yayasan Petronas menyumbang 4,650 liter cecair pembasmi kuman kepada 18 sekolah di Sabah dan Labuan serta sebuah rumah orang tua di Tuaran.

Pengurus Besar Petronas Sabah dan Labuan Rokiah Sulaiman pada kenyataan hari ini berkata, usaha itu dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu mencegah penularan Covid-19.

"Sumbangan ini adalah sebahagian daripada program CSR kami yang sedang berlangsung di Sabah dan Labuan. Kali ini, ia membabitkan sekolah dan sebuah rumah orang tua di sekitar kawasan operasi kami.

"Lima puluh liter daripada jumlah itu disumbang kepada rumah orang tua 'The Hope Village' hari ini.

"Selebihnya pula akan disampaikan kepada lima sekolah di Tuaran, enam di Kimanis, tiga di Sipitang dan empat di Labuan apabila sekolah berkenaan dibuka semula," katanya.

Rokiah berkata, cecair pembasmi kuman itu adalah sebahagian daripada nilai RM20 juta sumbangan Yayasan Petronas dalam bentuk peralatan perubatan kepada hospital, petugas kesihatan serta barisan hadapan dan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif The Hope Village Clarence Fu Tze Kong berkata, sumbangan berkenaan amat dihargai memandangkan bekalan cecair pembasmi kuman amat terhad.

"Melalui sumbangan ini, bekalan cecair pembasmi kuman untuk untuk penghuni The Hope Village terjamin bagi tempoh tiga bulan akan datang," katanya.

Selain The Hope Village, Yayasan Petronas juga menyumbang cecair pembasmi kuman kepada tujuh rumah orang tua di Johor, Kedah, Melaka, Perak, Sarawak, dan Terengganu.

Dalam perkembangan lain, Yayasan Petronas juga menyumbang 14 katil unit rawatan rapi untuk hospital di Sabah dan Labuan.

Minggu lalu, yayasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Dagangan Bhd menyumbang bahan makanan dan kad Mesra Petronas kepada 1,000 keluarga B40 di Tuaran, Kiulu, Kimanis, Beaufort, Ranau, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Labuan.

Sumbangan makanan dan kad mesra itu dilaksanakan di bawah program Sentuhan Kasih sempena sambutan Kaamatan dan Aidilfitri yang bakal menjelang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:00 PM