HALIZA giat mengagihkan bantuan kepada asnaf sejak hari pertama PKP. FOTO Ihsan Haliza
HALIZA giat mengagihkan bantuan kepada asnaf sejak hari pertama PKP. FOTO Ihsan Haliza
Redzuan Muharam


LAPAN tahun lalu, Haliza Abdul Halim nyaris maut akibat ditikam seorang lelaki dan insiden itu menyebabkan tendon atau urat tangannya putus hingga menjadikannya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal .

Biarpun trauma dengan apa yang menimpanya, wanita berusia 59 tahun itu berusaha bangkit tanpa menjadikan status OKU sebagai penghalang untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Semangatnya untuk terus aktif dalam aktiviti sukarelawan dan khidmat masyarakat juga tidak pernah luntur biarpun sudah berkeluarga dan mempunyai lima anak serta tiga cucu.

Haliza yang menetap di Subang Jaya, Selangor antara seorang aktivis sukarelawan yang tidak pernah ketinggalan mengagihkan bantuan kepada asnaf sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Berkongsi pengalamannya sebagai aktivis, Haliza berkata, dia mula turut serta dalam aktiviti berkenaan sejak 30 tahun lalu sebelum menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh pada 2005.

"Ikutkan, saya sudah lama aktif dan pertubuhan dan juga giat menjalankan khidmat masyarakat serta sukarelawan sebelum ini.

"Cuma, kami lebih sibuk sejak PKP dilaksanakan apabila permohonan bantuan semakin bertambah.

"Sumbangan diperoleh daripada dana awam dan Alhamdulillah, ramai yang membantu hingga kita dapat menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Haliza, sehingga kini, lebih 2,000 asnaf di sekitar Lembah Klang menerima manfaat daripada pengagihan bantuan secara harian dilaksanakan pertubuhannya.

Katanya, selain agihan makanan, program infak kurma turut dijalankan sebagai inisiatif tambahan sempena Ramadan.

Berhubung penerimaan keluarga, Haliza berkata, pada awalnya, anaknya agak khuatir seandainya dia terkena jangkitan kerana aktif keluar dalam tempoh PKP.

"Namun, mereka akhirnya faham dan sehingga hari ini, urusan pengagihan bantuan juga dipermudahkan Allah. Kami ada berdepan sekatan jalan raya tetapi pihak polis memberi kerjasama yang baik.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dan walaupun kita kini diuji dengan ancaman wabak Covid-19, banyak hikmah tersirat. Salah satunya adalah lebih banyak rezeki dapat disalurkan kepada asnaf pada tahun ini berbanding sebelumnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 3:30 PM