Raja Noraina Raja Rahim dan Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri, esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skim itu bertujuan mengawal harga barangan pada musim perayaan.

Menurutnya, ia termasuk menyekat harga ayam yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.

"Kalau dulu tidak timbul isu ini. Apabila kedai makan dan restoran ditutup, penjualan ayam berkurangan iaitu permintaan kurang daripada penawaran jadi harga rendah.

"Tiba-tiba sekarang ini harga makin tinggi. Tetapi kerajaan mempunyai mekanisma untuk menyekat kenaikan mendadak ini iaitu melalui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob  pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA
Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Perdana Putra hari ini. FOTO BERNAMA

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, penetapan harga syiling melalui skim berkenaan dapat mengawal harga penjualan ayam di pasaran ketika ini.

Menurutnya, penetapan harga syiling itu juga membabitkan barangan mentah dan barangan asas lain yang menjadi keperluan terutama untuk menyambut Aidilfitri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:45 PM