GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Amanina Suhaini


JOHOR mencatatkan jumlah kumulatif 46 kes positif Covid-19 membabitkan kanak-kanak bawah 12 tahun daripada keseluruhan 668 kes positif sehingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, tujuh kes membabitkan kanak-kanak berusia satu tahun ke bawah dan 15 kes aktif.

Katanya, bagaimanapun 31 kes membabitkan kanak-kanak sembuh dengan keseluruhan jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah sebanyak 520 kes.

"Atas sebab itu, kerajaan negeri merayu kepada semua supaya hindari membawa anak-anak keluar rumah tanpa sebab yang penting seperti pergi ke lokasi tumpuan awam. Sebaliknya, terus kekal di berada rumah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, pihaknya banyak pertanyaan berhubung operasi Perkhidmatan Kesihatan Pergigian di Johor ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pasca PKPB.

"Masyarakat bimbang dengan penularan Covid-19 tetapi pada masa sama, memerlukan perkhidmatan pergigian.

"Rekod menunjukkan terdapat penurunan ketara kedatangan pesakit luar pada Mac lalu (50,933 orang) berbanding dengan Januari lalu (68,413 orang) iaitu sebanyak 25.54 peratus penurunan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan purata kedatangan sekitar Januari hingga Mac dalam 60,000 pesakit setiap bulan.

"Di Johor, terdapat 60 klinik pergigian primer tetap dan 30 klinik pergigian lawatan untuk pesakit luar, selain terdapat 23 klinik pergigian pakar pelbagai disiplin," katanya.

Beliau berkata, mengikut norma baharu perkhidmatan pergigian, bilangan pesakit yang dibenarkan hadir pada satu masa adalah terhad daripada segi bilangan pesakit yang dirawat, selain masa menunggu dan rawatan pesakit disingkatkan.

"Proses kerja diubah bagi mengelakkan perawat pergigian dan pesakit terkena atau menyebarkan virus Covid-19, malah ada sebahagian dari rawatan pergigian elektif tidak dapat diberikan buat sementara waktu.

"Ketika ini, perkhidmatan pergigian yang disediakan terhad kepada kes-kes kecemasan. Rawatan biasa seperti proses scaling (cuci gigi) dan tampalan mudah, atau pesakit tidak mengalami sebarang kesakitan atau masalah perubatan lain akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga keadaan menjadi terkawal dan stabil.

"Pesakit perlu membuat temujanji terlebih dahulu untuk mendapatkan tarikh pemeriksaan pergigian dan buat masa ini pesakit boleh menghubungi klinik pergigian terdekat menerusi telefon," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 2:55 PM