BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah kerajaan wajar mencari pendekatan dalam membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

Seri Paduka menzahirkan harapan inisiatif yang diambil oleh Majlis Tindakan Ekonomi termasuk memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM260 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat dan ekonomi negara akan segera dirasai impaknya.

"Pakej tersebut adalah suatu yang amat besar dan luar biasa. Justeru, ia perlu disokong sepenuhnya oleh semua pihak.

"Beta yakin dengan kerjasama dan kesepakatan yang jitu, cabaran yang kita hadapi ini akan dapat kita tangani bersama. InsyaAllah," titah Al-Sultan Abdullah ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, hari ini.

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14. FOTO Bernama
AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14. FOTO Bernama

Dalam Titah Diraja, Seri Paduka menzahirkan keprihatinan terhadap cabaran semasa yang memberi kesan kepada Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka dan yakin kerajaan akan terus berusaha mengurangkan kesan buruk kepada rakyat dan negara.

Al-Sultan Abdullah bertitah banyak industri dan perniagaan terjejas akibat COVID-19 namun menyeru para majikan untuk tidak membuang pekerja sewenang-wenangnya.

"Semua pihak hendaklah bersedia melakukan pengorbanan demi meringankan bebanan rakyat jelata dan juga menyelamatkan ekonomi negara," titah Seri Paduka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 12:05 PM