FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyarankan orang ramai untuk membuat aduan rasmi jika terdapat peniaga yang menaikkan harga ayam melebihi harga siling.

Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, aduan itu perlu dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.

"Setiap tahun, masalah kenaikan harga ayam ini akan muncul lebih-lebih lagi waktu menjelang musim perayaan.

"Biasanya harga akan naik mendadak kerana peningkatan dalam permintaan ayam mentah dan kita sedia maklum senario ini memang akan berulang.

"Namun, bila kerajaan sudah mula mengumumkan skim kawalan harga musim perayaan, baru kita dapat lihat harga ayam yang munasabah," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, pengguna mengeluh mengenai kenaikan harga ayam yang mencecah sehingga RM9 sekilo berbanding hanya RM6.80 sekilo lazimnya.

Mohd Yusof berkata, sebenarnya jika harga ayam terlampau tinggi, pengguna boleh terus membuat aduan.

"Kalau ada aduan, baru KPDNHEP boleh membuat tindakan dan menyiasat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga," katanya.

Beliau berkata, pengguna memang tiada pilihan dan biasanya harga ayam ditetapkan dari peringkat ladang lagi dan seterusnya borong.

"Sekarang ini, kita bergantung kepada penetapan harga siling dan kita berharap harga akan stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 4:08 PM