Peniaga ayam di Pasar Besar Melaka di Bachang. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Peniaga ayam di Pasar Besar Melaka di Bachang. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


KENAIKAN harga ayam di Pasar Besar Melaka hanya sekitar RM20 sen hingga 30 sen namun ramai pelanggan terkejut apabila harga ayam terus meningkat saban minggu.

Tinjauan wartawan mendapati harga ayam di pasar berkenaan dijual sekitar RM8.70 dan RM8.80 oleh lapan peniaga di pasar berkenaan.

Peniaga, Zulhelmi Zawawi berkata, berlaku kenaikan antara 20 sen hingga 30 sen sekilogram bagi ayam dijual.

Sebelum ini dia mendakwa menjual ayam pada harga RM7.30 hingga RM8.30 sekilogram beberapa minggu lalu sebelum harganya meningkat mengikut harga standard ditetapkan.

Bagaimanapun dia percaya harga ayam akan turun berikutan sambutan Aidilfitri yang semakin hampir.

"Peniaga hanya menetapkan harga ( tinggi ) selepas mendapat bekalan harga yang datang dari pembekal, Keuntungan kami hanya sekitar RM1 setiap kilogram.

"Harga ayam juga bergantung pada pembekal yang membekalkan ayam kepada peniaga," katanya.

Zulhelmi berkata, sebagai peniaga mereka tidak pernah mengambil kesempatan terhadap pengguna walaupun perlu menampung kos pekerja ,pengurusan selain memperolehi sedikit keuntungan.

Salah seorang peniaga ayam di pasar itu yang enggan namanya didedahkan berkata, harga ayam hanyalah sekitar RM6 ke RM7 pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum naik sedikit sedikit mencecah RM8.80 sekilogram.

"Tidak pasti sama ada harga terus naik atau turun selepas hari ini berdasarkan permintaan dan bekalan .

"Apapun saya yakin bekalan ayam mencukupi untuk menampung keperluan orang ramai semasa musim perayaan dan mengharapkan komuniti tidak perlu bimbang dan panik dengan bekalan semasa," katanya.

Sementara itu, salah seorang peniaga ayam di kawasan Melaka Tengah, Mohamad Izat berkata, harga ayam dijual semalam adalah RM 8.50 sekilogram berbanding sekitar RM7.50 sekilogram minggu lalu.

Beliau berkata, permintaan ayam yang amat tinggi pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri kemungkinan menyebabkan kenaikan harga ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 3:22 PM