.Peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan terpaksa menjual ayam dengan harga RM9 kilogram (kg) selepas menerima bekalan pada harga tinggi sejak seminggu lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
.Peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan terpaksa menjual ayam dengan harga RM9 kilogram (kg) selepas menerima bekalan pada harga tinggi sejak seminggu lalu. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengeluarkan notis kepada enam peniaga dan dua pemborong untuk mengemukakan alasan berkaitan kenaikan harga ayam yang dikesan sejak Isnin lalu.

Mereka diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan maklum balas notis berkenaan serta dokumen sokongan, sekiranya gagal mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang Ahmad Fitri Ali berkata, harga ayam di peringkat runcit sebelum ini antara RM4.70 hingga RM5.80 kilogram (kg) tetapi sejak Isnin lalu meningkat kepada RM8.50 dan RM9.50 kg.

Menurutnya, kenaikan harga ayam secara mendadak itu ternyata memberi kesan kepada pengguna yang kini sedang menjalani ibadah puasa dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, sekiranya benar golongan terbabit cuba mengambil kesempatan menaikan harga ayam tanpa sebarang alasan kukuh mereka akan dikenakan tindakan.

"Pihak terbabit perlu memikirkan bebanan yang terpaksa dihadapi pengguna kerana ayam merupakan antara makanan utama masyarakat negara ini, perbuatan menaikan harga sesuka hati tidak seharusnya berlaku.

"KPDNHEP Pahang akan mendapatkan maklumat daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang bagi mengenal pasti bekalan ayam samada stabil atau sebaliknya," katanya di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di 53 premis runcit menjual ayam, enam premis pemborong dan dua ladang di negeri ini.

Ahmad Fitri berkata, lapan notis yang dikeluarkan membabit empat pemborong dan dua peladang di daerah ini serta dua pemborong di Temerloh.

Mereka akan mengemukakan alasan dalam masa ditetapkan.

"Sekiranya terbukti bersalah mereka akan didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, yang membawa hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan kedua boleh didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita tidak akan berkompromi dengan peniaga, pemborong dan pemilik ladang yang bertindak sesuka hati menaikan harga ayam tanpa sebarang alasan kukuh.

"Jangan kerana inginkan keuntungan lebih pada musim perayaan mereka sesuka hati menaikan harga, akibatnya pengguna yang terbeban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 2:43 PM