Ahmad Rabiul Zulkifli


"KAMI bukan sesuka hati naikkan harga ayam, semuanya bergantung kepada harga ditawarkan penternak," kata Mohd Asri Ali, 51, penjual ayam ketika ditemui di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Asri berkata, peniaga sendiri bimbang dengan situasi kenaikan harga ayam yang mendadak sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa.

"Peniaga diherdik dan dimarah pelanggan berikutan kenaikan harga ayam sekarang yang disifatkan tertinggi pada tahun ini.

"Harga ayam ketika awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat rendah iaitu RM3 sekilogram sebelum meningkat ke RM5 sekilogram.

"Sekarang, harga ayam dijual RM8.50 hingga RM9 sekilogram sejak PKPB dan puncanya kerana permintaan meningkat susulan restoran dan kedai makan beroperasi seperti biasa," katanya.

Dia berkata, dia berasa bimbang sekiranya harga ayam semakin tinggi menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

"Lebih 34 tahun saya berniaga ayam dan kebiasaannya menjelang Aidilfitri atau musim perayaan dan cuti sekolah pada setiap tahun akan menyebabkan harga ayam akan meningkat.

"Dibimbangi dua hari sebelum 1 Syawal nanti harga ayam akan naik sehingga RM10 sekilogram.

"Kenaikan harga ayam secara tidak langsung akan menjejaskan peniaga runcit seperti kami kerana kuasa beli pelanggan akan menurun seterusnya ayam tidak terjual," katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak penternak tidak menaikkan harga ayam sedia ada sebaliknya menurunkan pada harga mampu beli.

"Jika boleh turunkan harga ayam kepada harga yang sederhana iaitu antara RM5 hingga RM6 sekilogram dan ia sudah banyak membantu," katanya.

Sementara itu, Iman Syah Abd Rani, 26, dari Kampung Kubang Parit berkata, dia kali pertama berhadapan dengan kenaikan harga ayam mendadak sepanjang enam tahun berniaga di pasar berkenaan.

"Saya terpaksa menjual dengan harga RM9 sekilogram kerana harga borong yang diambil daripada pembekal sudah tinggi.

"Jika saya jual pada harga yang lebih rendah, perniagaan saya akan mengalami kerugian.

"Saya akui memang mahal harga ayam sekarang dan akur sekiranya pelanggan marah dan merungut," katanya.

Menurutnya, harga ayam paling murah yang pernah ditawarkan ialah RM4 sekilogram ketika PKP berkuat kuasa.

"Sekarang PKPB harga ayam melambung secara mendadak dan ia di luar kawalan peniaga runcit.

"Jumlah ayam yang dijual masih kekal iaitu antara 80 hingga 100 kilogram sehari walaupun harga tinggi berikutan tempoh berniaga pada PKPB dilanjutkan sehingga jam 6 petang.

"Permintaan dalam kalangan peniaga makanan juga meningkat sepanjang Ramadan sekali gus menampung kemerosotan permintaan orang awam berikutan harga ayam yang tinggi sekarang," katanya.

Menurutnya, dia berharap berlaku penurunan harga ayam menjelang Aidilfitri.

"Sebagai peniaga, saya juga berasa tertekan dan tebal muka kerana terpaksa menjual ayam pada harga yang tinggi seperti itu," katanya.

TINJAUAN harga ayam di Pasar Chabang Tiga. FOTO Ghazali Kori
TINJAUAN harga ayam di Pasar Chabang Tiga. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 11:36 AM