KPDNHEP Johor melakukan pemeriksaan terhadap peniaga ayam di Pasar Awam Larkin, hari ini, bagi menyiasat punca kenaikan harga. FOTO ihsan KPDNHEP
KPDNHEP Johor melakukan pemeriksaan terhadap peniaga ayam di Pasar Awam Larkin, hari ini, bagi menyiasat punca kenaikan harga. FOTO ihsan KPDNHEP
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 37 peruncit serta peniaga ayam di Johor diberikan notis bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga produk jualan mereka yang dikesan sejak seminggu lalu.

Dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, agensi berkenaan sudah menjalankan 71 pemeriksaan dengan tumpuan utama ke atas gerai di pasar awam negeri ini.

KPDNHEP Johor berkata, agensi berkenaan mendapat maklumat berkaitan kenaikan harga jualan ayam di premis runcit di seluruh negeri ini.

"Keadaan ini mencetuskan kegusaran pengguna berikutan sambutan Aidilfitri yang akan diraikan tidak lama lagi.

"KPDNHEP Johor melaksanakan pemeriksaan serta merta ke atas premis runcit yang menjual ayam pada harga yang tinggi.

"Daripada 71 premis yang diperiksa, 37 peruncit diberikan notis bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kenaikan harga.

"Selain itu, siasatan juga diteruskan ke atas lima pemborong utama dan tiga peladang bagi melihat punca kenaikan harga," kata kenyataan berkenaan.

KPDNHEP Johor berkata, siasatan awal mendapati kenaikan harga ayam berlaku dalam masa seminggu kebelakangan ini.

"Seramai 200 orang pegawai penguat kuasa ditugaskan untuk melaksanakan pemeriksaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula 4 Mei lalu.

"Peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual pada harga yang tidak munasabah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) yang membawa hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali; bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Manakala bagi pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM1,000,000 bagi kesalahan kali kedua," katanya.

Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kekurangan bekalan atau kenaikan harga secara tidak munasabah sepanjang tempoh PKPB kepada portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my), pusat panggilan 1 800 886 800, emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP (aplikasi telefon pintar), Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) (03 8882 6088/6245) dan Whatsapp 019 279 4317.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 11:29 AM